Tiga wanita gaduh di tempat awam didenda RM1,000

27 Nov 2026 • 4:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Tiga wanita gaduh di tempat awam didenda RM1,000

Kota Kinabalu: Tiga wanita masing-masing didenda RM1,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku bersalah bergaduh di tempat awam.

Juruwang, Norfazira Awang, 31, serta dua pembantu kedai, Riti, 27, dan Nurjannah, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan bersama-sama melakukan kekecohan dengan dua lagi individu yang masih bebas.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam pada 10 Mac tahun ini di belakang Pasar Besar di pusat bandar.

Kesalahan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Akaash Singh ketika membentangkan fakta kes berkata pengadu membuat laporan polis pada jam 11.58 malam, 11 Mac, mendakwa dirinya diserang tiga wanita yang dikenalinya.

Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku kira-kira jam 11.30 malam pada 10 Mac membabitkan Norfazira, Riti, Nurjannah, seorang wanita dikenali sebagai Andirah serta dua lagi individu yang masih bebas.

Ketika kejadian mereka saling menumbuk, menendang dan menarik rambut antara satu sama lain.

Mahkamah diberitahu bahawa Norfazira telah mencetuskan provokasi terhadap Andirah.

Selepas pergaduhan itu dileraikan orang awam, semua wanita terbabit melarikan diri dari lokasi kejadian.

Peguam yang bertugas, Jasamine Tan mewakili ketiga-tiga tertuduh, memohon hukuman denda lebih rendah dengan mengambil kira usia, pekerjaan serta status mereka yang masih bujang.

Bagaimanapun Akaash memohon hukuman penjara dengan alasan kesalahan itu serius seperti ditunjukkan dalam laporan perubatan, selain berlaku di tempat awam dan disaksikan ramai orang.

Sementara itu mahkamah mengeluarkan saman terhadap Andirah yang tidak hadir supaya tampil menghadapi pertuduhan dan menetapkan 27 Januari tahun depan untuk semakan saman berkenaan.

Dalam kes berasingan seorang lelaki penganggur berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 minggu dan denda RM1,000 atau tambahan enam minggu penjara kerana mencuri telefon bimbit.

Mohd Anuar Kadir mengaku bersalah mencuri telefon bimbit milik Rojiah Jait di sebuah restoran di Inanam pada 20 November lalu kira-kira jam 11.30 pagi.

Kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu membuat laporan polis selepas telefon bimbit yang diletakkan di atas kaunter restoran itu didapati hilang.

Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan mendapati Anuar, yang pernah bekerja di restoran itu mengambil telefon bimbit terbabit.

Anuar kemudian ditahan polis dan telefon bimbit yang dicuri berjaya ditemui semula sebelum dikenal pasti oleh pengadu sebagai miliknya.

Jasamine yang mewakili Anuar memohon hukuman ringan dengan menyatakan anak guamnya sudah berkahwin, tidak bekerja dan isterinya sedang hamil tujuh bulan.

Bagaimanapun Akaash memohon hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada tertuduh serta peringatan kepada orang ramai.

Beliau berkata kesalahan sedemikian semakin meningkat selain pengadu telah kehilangan telefon bimbitnya untuk suatu tempoh.

Mahkamah memerintahkan Anuar menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved