Kapten Razali, anak kongsi kokpit ke Colombo

6 Aug 2026 • 9:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kapten Razali, anak kongsi kokpit ke Colombo

KUALA PILAH – “Apabila pintu kokpit ditutup, kami menjalankan tanggungjawab secara profesional seperti mana-mana kru penerbangan lain.”

Demikian kongsi seorang juruterbang berpengalaman, Razali Abdul Aziz, 53, apabila me­nyifatkan detik kali pertama berkongsi kokpit bersama anak perempuan sulung, Fatin Dayini, 26, selaku pembantu juruterbang meskipun timbul perasaan bangga, terharu dan gembira bercampur baur.

Kapten Batik Air Malaysia itu berkata, pengalaman bersejarah itu berlaku ketika mengendalikan pe­nerbangan OD297/298 bagi laluan Kuala Lumpur-Colombo-Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

“Meskipun perasaan itu cukup kuat, saya dan anak tetap mengetepikan emosi sepanjang berada di kokpit demi memastikan aspek keselamatan, kelancaran serta keselesaan penum­pang sentiasa diutamakan.

“Saya rasa bangga, terharu, gembira dan pada masa sama sedikit janggal kerana bertugas dengan anak sendiri dalam kokpit yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Razali yang mempunyai pe­ngalaman selama 30 tahun dalam dunia penerbangan berkata, beliau mula bergelar juruterbang pada 1996 selepas memperoleh Diploma Penerbangan dan Le­sen Juruterbang Pengangkutan Udara (ATPL) daripada Australian Air Academy di Tamworth, Australia.

Sepanjang tiga dekad ber­khidmat, beliau merekodkan lebih 18,500 jam penerbangan dan terkini sebagai juruterbang pesawat Boeing 737.

Ujarnya, minat anaknya terhadap bidang penerbangan sebenarnya sudah dapat dilihat sejak di bangku sekolah ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak dan Taiping.

“Dia memang banyak bertanya mengenai kapal terbang dan dunia penerbangan. Malah, dia suka menyelongkar beg kerja saya untuk melihat bahan berkaitan penerbangan,” katanya.

Razali yang ada kalanya menguruskan kebunnya di daerah ini berkata, antara detik paling bermakna sepanjang penerbangan tersebut adalah apabila beliau dapat membimbing anaknya mengendalikan proses berlepas dan mendarat dengan baik serta penuh keyakinan.

“Bagi saya, saat itu ibarat melihat legasi yang dibina selama ini berkembang secara semula jadi.

“Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat anak mampu melaksanakan tugas dengan baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Kapten Razali, anak kongsi kokpit ke Colombo appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved