Kapten Zainol Afiq sudah cuba yang terbaik selamatkan nyawa

10 Sep 2026 • 5:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kapten Zainol Afiq sudah cuba yang terbaik selamatkan nyawa

PETALING JAYA – Juruterbang helikopter BO-105 dipercayai sudah melakukan cara terbaik untuk menyelamatkan nyawa penumpang sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak kelmarin.

Bekas juruterbang Polis Diraja Malaysia, Kapten Mohd. Ezairol Rezan Zainol berkata, dalam situasi kecemasan dan kritikal, hanya juruterbang mengetahui kaedah terbaik untuk menyelamatkan pesawat dan penumpang.

“Dalam nahas di Ulu Baram, saya percaya juruterbang sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa. Mungkin lokasi nahas itu pilihan terbaik kerana kedudukan geografi dan kawasan hutan tebal tidak mempunyai kawasan selamat untuk melakukan pendaratan,” katanya.

Image from: Kapten Zainol Afiq sudah cuba yang terbaik selamatkan nyawa
KAPTEN MOHD. EZAIROL REZAN

Nahas itu mengorbankan Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit, serta jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya yang dalam perjalanan memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Long Lellang.

Beliau berkata, pesawat perlu berada pada ketinggian melebihi 1,000 kaki (305 meter) bagi membolehkan sebarang terjunan kecemasan dari udara dilakukan secara selamat.

“Jika ketinggian itu tidak dicapai, semua penerjun perlu kekal dalam pesawat sehingga mendarat kerana payung terjun dikhuatiri tidak sempat kembang dengan baik, sekali gus membahayakan nyawa.

“Apabila ketinggian pesawat tidak melebihi 1,000 kaki, semua penerjun tidak dibenarkan terjun. Jika terjun sekali pun, payung terjun dikhuatiri tidak sempat terbuka dan kembang dengan baik, seterusnya membahayakan nyawa penerjun,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan netizen di media sosial yang mempersoalkan mengapa lima mangsa nahas helikopter di Ulu Baram tidak terjun untuk menyelamatkan diri sebelum pesawat itu terhempas dan terbakar.

Jelas Mohd Ezairol, tidak semua individu layak dan dibenarkan melakukan terjunan dari pesawat kerana ia memerlukan latihan, kemahiran dan kesihatan yang baik.

“Jika berlaku kecemasan pada ketinggian tidak mencapai 1,000 kaki, juruterbang tidak benarkan penerjun keluar dan perlu kekal dalam pesawat. Tidak kiralah penerjun profesional dan berpengalaman sekali pun, mereka perlu kekal dalam pesawat dan mengikut arahan juruterbang,” katanya.

Tegasnya, sekiranya penerjun keluar tanpa mempedulikan arahan juruterbang, ia dikhuatiri menjejas keadaan konfigurasi pusat graviti pesawat terbabit.

Menjawab persoalan mengapa helikopter penyelamat tidak dibenarkan terbang, katanya, helikopter malang yang membawa petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) itu berlepas dari Miri, manakala helikopter penyelamat pula berada di pangkalan di Kuching.

Katanya, bagi helikopter komersial ringan, perjalanan dari Kuching ke Long Lellang secara terus mengambil masa tiga hingga empat jam bergantung kepada kelajuan helikopter dan angin.

Susulan itu, katanya, keadaan itu membahayakan kru pasukan mencari dan menyelamat jika terbang lewat petang kerana risiko cuaca buruk dan penglihatan terjejas disebabkan jerebu teruk di Kuching yang perlu diambil kira.

“Keadaan penglihatan di Miri jika dibandingkan dengan di Kuching pada sebelah petang tidak sama dan jauh berbeza,” katanya.

The post Kapten Zainol Afiq sudah cuba yang terbaik selamatkan nyawa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved