
SEREMBAN – “Tak sangka itu adalah panggilan terakhir dia.”
Demikian luahan bapa juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, Bee Sham Ahmad, 59, apabila panggilan video lebih sejam bersama ibunya pada malam sebelum nahas menjadi kenangan terakhir buat keluarga.
Bee Sham berkata, anak keempat daripada 12 beradik itu sememangnya kerap menghubungi keluarga, namun panggilan video bersama ibunya, Zaiton Muda, 59, pada malam kelmarin berlangsung lebih lama daripada biasa.
“Arwah memang selalu telefon kami tetapi malam kelmarin dia telefon dan berbual memang lama.
“Dia video call dengan mak dia lebih satu jam setengah, dari pukul 10 malam sampai 11 lebih baru dia letak. Tak sangka itu adalah panggilan terakhir dia,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, berita sedih mengenai nahas itu hanya diketahui selepas anak kelapan memaklumkan abangnya terbabit dalam kejadian berkenaan pada petang semalam.
Katanya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu adalah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu apabila Zainol Afiq bercuti selama seminggu untuk pulang mengundi di Senawang sebelum kembali ke Miri bagi meneruskan tugas.
“Sampai sekarang kami masih rasa macam tak percaya. Panggilan dengan mak dia malam itu pun kami tak sangka menjadi kali terakhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kapten Zainol buat ‘video call’ lebih sejam bersama ibu appeared first on Kosmo Online.





