TANJONG MALIM – Penganjuran Karnival Kerjaya: Kampus ke Kerjaya Bersama Industri 2026 oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri bagi melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Hizatul Haliza Hashim berkata program berkenaan turut berperanan meningkatkan keberkesanan penempatan latihan industri pelajar secara lebih tersusun dan berimpak.
Beliau berkata, seiring dengan perkembangan landskap pekerjaan yang semakin dinamik, kerjasama erat antara universiti dan industri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan graduan yang dilahirkan memiliki kemahiran, kompetensi serta kebolehpasaran yang tinggi.
“Hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri amat penting bagi merealisasikan usaha melahirkan graduan berkualiti, berkemahiran dan memenuhi kehendak pasaran kerja secara lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya: Kampus ke Kerjaya Bersama Industri 2026 di Dewan Muallim, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Menurut beliau, program seumpama itu turut memberi peluang kepada pihak industri untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Katanya, pengisian program yang merangkumi forum industri, ceramah kerjaya, ceramah latihan industri serta sesi perkongsian profesional mampu memberi nilai tambah yang besar kepada pembangunan kompetensi mahasiswa.
“Melalui pendedahan secara langsung bersama pemain industri, mahasiswa bukan sahaja memperoleh maklumat berkaitan kerjaya, malah dapat memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan dan mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum melangkah ke alam profesional,” katanya.
Beliau berkata penglibatan aktif pihak industri dalam program seperti itu juga membantu universiti memahami kehendak semasa pasaran pekerjaan, sekali gus memastikan kurikulum dan latihan yang diberikan sentiasa relevan dengan keperluan industri.
“Kerjasama yang terjalin antara universiti dan industri mampu memastikan proses penempatan latihan industri pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih terancang serta bersesuaian dengan bidang pengajian masing-masing,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI) UPSI, Prof Madya Dr. Ashardi Abas berkata, dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif dan dinamik, institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian tanpa penglibatan aktif pihak industri.
Beliau berkata kerjasama strategik antara universiti dan industri amat penting bagi memastikan kurikulum, latihan, kemahiran serta kompetensi graduan sentiasa relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.
“Kesediaan pihak industri untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan keperluan semasa pasaran pekerjaan amat penting dalam membantu universiti memperkukuh proses pembangunan graduan,” katanya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)





