Kaspersky dedah skim phishing sasar pengguna Coinbase, Malaysia antara negara sasaran

LocalTechnology
3 Oct 2025 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kaspersky dedah skim phishing sasar pengguna Coinbase, Malaysia antara negara sasaran

image is not available

03/10/2025 - 10:58

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt – Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky mendedahkan kewujudan satu skim pancingan data (phishing) yang menyasarkan pengguna platform pertukaran mata wang kripto popular, Coinbase.

Dalam serangan tersebut, pengguna akan menerima e-mel palsu yang mendakwa ia penyata akaun Coinbase.

Namun, apabila pautan dibuka melalui komputer berasaskan Windows, ia memuat turun perisian capaian jauh (remote access software) yang membolehkan penyerang mengambil alih komputer mangsa.

Pengguna yang mencuba log masuk ke akaun Coinbase mereka akan secara tidak sengaja mendedahkan nama pengguna dan kata laluan kepada penyerang.

Akibatnya, maklumat log masuk (nama pengguna dan kata kunci) serta aset kripto mangsa boleh dicuri atau akaun dikunci daripada akses asal.

Penganalisis Kandungan Web Kanan Kaspersky, Olga Altukhova berkata, serangan itu jelas menunjukkan bagaimana penjenayah siber mengeksploitasi kepercayaan pengguna terhadap platform besar seperti Coinbase.

“Dengan menggunakan penyata akaun, mereka memanipulasikan kepercayaan pengguna.

“Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak pautan dan fail sebelum membukanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi mengelak menjadi mangsa, Kaspersky menasihatkan pengguna agar:

* Tidak berkongsi kod pengesahan dua faktor (2FA),

* Memeriksa kesahihan mesej, pautan atau panggilan walaupun nampak sah,

* Tidak memberi akses kamera kepada laman tidak diketahui,

* Menghadkan perkongsian maklumat sensitif di internet,

* Menggunakan penyelesaian keselamatan dipercayai seperti Kaspersky NEXT untuk syarikat atau Kaspersky Premium untuk individu.

Tambahnya, Malaysia juga menjadi antara negara di Asia Tenggara yang sering menjadi sasaran serangan phishing sebelum ini.

Malah, terdapat kes penipuan melibatkan aplikasi palsu yang menyamar menggunakan nama “Coinbase Wallet”, membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Kaspersky yang ditubuhkan pada 1997 kini melindungi lebih satu bilion peranti di seluruh dunia dan terus membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengekang ancaman siber yang semakin canggih. - DagangNews.com

standard