Kategori Pro – Am batu lonjatan Malaysian Cubprix untuk Kekal Relevan

11 Sep 2025 • 1:16 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Dalam temubual eksklusif bersama Mr. Ron Hogg, Promotion Director untuk Two Wheels Motor Racing (TWMR), beliau menekankan kepentingan kategori Pro-Am yang diperkenalkan dalam kejuaraan Malaysian Cub Prix.

Menurut Ron, kategori ini dicipta sebagai batu loncatan untuk memastikan Cub Prix terus relevan dalam landskap perlumbaan tempatan. Walaupun ada segelintir masyarakat yang memandang serong Cub Prix sebagai perlumbaan “dalam sangkar” kerana menggunakan jalan raya yang diubah menjadi litar perlumbaan, hakikatnya kategori Pro-Am telah membawa nafas baharu yang menakjubkan.

Kategori ini bukan sahaja membuka ruang peluang kedua buat pelumba berpengalaman yang terpinggir, malah ia juga menjadi medan untuk pelumba baharu tanpa tempat tetap membina portfolio kompetitif mereka. Bagi pelumba senior, Pro-Am adalah peluang untuk menguji tahap kemampuan mereka berbanding generasi pelumba masa kini. Manakala bagi pelumba muda, daripada tidak berlumba langsung, mereka kini mampu menjadikan Cub Prix sebagai platform permulaan ke tahap yang lebih tinggi.

Lebih menarik, bengkel-bengkel persendirian kini boleh menjadikan Cub Prix sebagai pentas untuk menaikkan nama mereka, sekaligus menjana pendapatan tambahan jika mendapat sokongan penaja. Dengan kos penyertaan yang lebih rendah dan spesifikasi jentera yang tidak terlalu ekstrem, Pro-Am menjadi medan yang lebih inklusif serta realistik untuk disertai.

Disebabkan sambutan yang begitu tinggi, pasukan Pro-Am kini menjadi rebutan dan penganjur terpaksa melakukan proses penapisan ketat bagi menentukan grid terakhir. Fenomena ini jelas membuktikan bahawa Cub Prix kekal relevan dan terus berkembang sebagai platform pembangunan sukan permotoran di Malaysia.