Kawal arak, premis judi sudah ada dalam Perlembagaan Pas – Sanusi

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 7:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kawal arak, premis judi sudah ada dalam Perlembagaan Pas – Sanusi

KOTA BHARU: Rakyat tidak perlu menunggu sehingga Pas mengeluarkan manifesto pilihan raya untuk melihat ketetapan kawalan arak dan penghapusan judi kerana ia sudah lama terkandung dalam perlembagaan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Perlembagaan Pas menetapkan dasar perjuangan parti itu adalah berteraskan Islam yang menolak kemungkaran seperti judi dan perkara memudaratkan akal seperti arak.

Katanya, orang ramai boleh merujuk sendiri Perlembagaan Pas terutama fasal lima secara jelas menyebut tujuan Pas adalah memperjuang pelaksanaan nilai dan hukum Islam dalam pemerintahan, merangkumi undang-undang syariat yang melarang premis judi dan mengawal penjualan arak.

“Dasar Pas adalah Islam dan seruan Pas adalah Allahuakbar. Memperjuang terbentuknya nilai-nilai Islam di negara ini termasuk berkaitan judi, yang mana nilai-nilai Islam tidak boleh berjudi.

“Perkara itu sudah lama ada dalam Perlembagaan Pas, iaitu fasal 5. Jadi tidak perlu tunggu manifesto,” katanya selepas Podcast Anak Muda sempena Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Beliau memberi respons terhadap video Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mencabar Pas meletakkan pengharaman judi dan arak dalam manifesto pilihan raya parti itu yang disebarkan oleh akaun media sosial Harukah Daily.

Menteri Besar Kedah itu berkata, tiada keperluan memasukkan perkara berkenaan ke dalam manifesto yang lebih berupa tawaran sesebuah parti politik kepada pengundi berbanding ketetapan seperti terkandung dalam dasar atau perlembagaan.

“Orang kata manifesto bukan kitab suci. Baca Perlembagaan Pas. Apa perjuangan Pas? Tetapi kalau sudah tidak mahukan Pas, tetap tidak mahu jugalah dan gunalah macam-macam alasan.

“Islam melarang perjudian.Takkanlah perkara itupun kena masuk manifesto lagi? Cuba syahadah sekali,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Kedah kini sedang menunggu langkah perundangan seterusnya apabila terdapat kemungkinan pengusaha premis perjudian akan membawa kes tuntutan ganti rugi di mahkamah.

“Tunggu langkah-langkah berikutlah di mahkamah. Depa (pengusaha premis perjudian) nak bawa kes untuk tuntut ganti rugi. Kita lawan lagilah.

“Saya harap orang Kedah tak main judilah. Siapapun tak kira, orang Kedah ke orang manapun, tak berjudilah. Jangan bergantung harap kepada nasib, sebaliknya bergantunglah kepada usaha, doa dan tawakal,” katanya. – UTUSAN

 

 

The post Kawal arak, premis judi sudah ada dalam Perlembagaan Pas – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved