hamden03/08/2026 - 10:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pengambilalihan baki 30% pegangan dalam Jelas Puri Sdn. Bhd. (Jelas Puri) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memberikan lebih fleksibiliti kepada WCT Holdings Bhd. (WCT) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif korporat pada masa depan.
MBSB Research berkata, walaupun urus niaga bernilai RM140 juta yang dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman itu akan mengurangkan kedudukan tunai kumpulan buat sementara waktu, namun kesannya terhadap kedudukan kewangan WCT masih berada pada tahap yang boleh diuruskan.
"Walaupun pengambilalihan ini dijangka tidak meningkatkan pendapatan dalam tempoh terdekat berikutan Jelas Puri merekodkan kerugian bersih sebanyak RM7.5 juta bagi FY25, kami melihat langkah ini sebagai neutral hingga positif dari sudut strategik kerana WCT kini memiliki kawalan penuh ke atas syarikat berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap saham WCT dengan harga sasaran (TP) RM0.43, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 11 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27.
Menurutnya, pemilikan penuh itu membolehkan WCT menyusun semula, memperkemaskan atau menjana semula aset di bawah Jelas Puri dengan lebih mudah tanpa perlu mendapatkan persetujuan rakan kongsi.
Jelas Puri merupakan pemaju pembangunan bersepadu Paradigm Petaling Jaya yang merangkumi Menara The Ascent, Hotel Le Méridien Petaling Jaya, The Azure Residences dan Sapphire Paradigm.
Pengitaran Modal
MBSB Research berkata, langkah tersebut turut membuka laluan kepada strategi pengitaran modal memandangkan Paradigm Mall Petaling Jaya telah disuntik ke dalam Paradigm REIT pada Jun 2025.
Malah, Paradigm REIT dilaporkan mempunyai beberapa aset lagi dalam saluran pemerolehan bagi tempoh tiga tahun akan datang, termasuk Hyatt Place Johor Bahru, Le Méridien Petaling Jaya, Premier Hotel Klang serta Gateway di KLIA Terminal 2.
"Dengan memiliki sepenuhnya Jelas Puri, proses penjanaan nilai aset dijangka menjadi lebih lancar, di samping membolehkan WCT mengekalkan pendedahan kepada aset berkenaan melalui pegangan unit dalam REIT," katanya.
Nilai pertimbangan RM140 juta itu memberikan penilaian tersirat sebanyak RM466.7 juta kepada Jelas Puri berbanding nilai aset bersih FY25 sebanyak RM191.3 juta, bersamaan kira-kira 2.4 kali nilai buku.
Menurut firma penyelidikan itu, premium kira-kira RM82.6 juta tersebut berkemungkinan mencerminkan nilai pasaran sebenar aset hotel, pegangan unit Paradigm REIT serta nilai strategik yang diperoleh menerusi pemilikan penuh.
Dari segi prospek operasi, MBSB Research menjangkakan sumbangan pendapatan WCT masih berdepan tekanan dalam beberapa suku akan datang, namun disokong oleh kemajuan kerja yang lebih baik bagi projek infrastruktur utama seperti pelebaran Lebuhraya PLUS dan Pavilion Damansara Heights Fasa 2.
Selain itu, keterlihatan pendapatan segmen hartanah turut disokong oleh jualan belum dibilkan sebanyak RM1.02 bilion serta pelancaran projek baharu dengan gabungan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.54 bilion yang dirancang bagi FY26.
Buat masa ini, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan WCT tanpa sebarang perubahan sementara menunggu perkembangan selanjutnya daripada pelaksanaan strategi penjanaan aset kumpulan. - DagangNews.com





