Bursa Malaysia berpotensi dinilai semula jika nilai dagangan harian dan momentum IPO terus kukuh - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 9:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia berpotensi dinilai semula jika nilai dagangan harian dan momentum IPO terus kukuh - MBSB Research Image from: Bursa Malaysia berpotensi dinilai semula jika nilai dagangan harian dan momentum IPO terus kukuh - MBSB Research hamden31/07/2026 - 09:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Saham Bursa Malaysia Bhd berpotensi menerima penilaian semula sekiranya purata nilai dagangan harian (ADV) terus meningkat melebihi jangkaan, disokong penyertaan pelabur asing yang semakin kukuh, momentum penyenaraian awam permulaan (IPO) yang berterusan serta pelaksanaan inisiatif kawal selia yang lebih pantas.

 

MBSB Research berkata, faktor-faktor tersebut mampu menjadi pemangkin utama kepada prestasi Bursa dalam tempoh sederhana, walaupun firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'Neutral' dengan harga sasaran (TP) RM8.85 sesaham.

 

Menurutnya, buat masa ini penilaian saham Bursa telah mengambil kira sebahagian besar perkembangan positif termasuk peningkatan aktiviti dagangan, pertumbuhan hasil bukan dagangan dan dasar pembayaran dividen yang konsisten.

 

"Bagaimanapun, penarafan semula masih boleh berlaku sekiranya aktiviti dagangan berkembang lebih kukuh daripada jangkaan, penyertaan pelabur asing terus meningkat, aktiviti IPO kekal rancak dan pelaksanaan inisiatif seperti program MY Value Up dipercepatkan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek Bursa kekal positif selepas pengendali bursa tersebut menaikkan sasaran permodalan pasaran IPO kepada RM34 bilion bagi FY26 berbanding RM28 bilion sebelum ini, selepas nilai permodalan IPO mencecah RM26.1 bilion dalam separuh pertama tahun ini.

 

Selain itu, Bursa turut merekodkan 36 IPO dalam tempoh enam bulan pertama FY26, sekali gus muncul sebagai pasaran IPO terbesar di ASEAN dari segi bilangan penyenaraian dan dana yang berjaya dikumpulkan.

 

MBSB Research berkata, Bursa juga berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) antara 27% hingga 30% bagi FY26, selain menjangkakan hasil bukan dagangan berkembang lebih 10% berbanding FY25.

 

Inisiatif Strategik Kukuhkan Pertumbuhan

Dalam usaha mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang, Bursa sedang melaksanakan beberapa inisiatif strategik termasuk cadangan penambahbaikan Pasaran LEAP bagi memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat bersaiz pertengahan.

 

Pada masa sama, cadangan penambahbaikan indeks FBM KLCI dan FBM70 dijangka meningkatkan kerelevanan penanda aras pasaran, manakala kerjasama dengan Hong Kong Exchanges and Clearing (HKEX) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Securities and Futures Commission Hong Kong (SFC) dijangka membuka peluang kepada penyenaraian dwi, penyenaraian sekunder serta penyenaraian silang ETF dan REIT.

 

Menurut MBSB Research, inisiatif tersebut mampu meningkatkan keterlihatan pasaran modal Malaysia, menarik lebih ramai penerbit dan pelabur antarabangsa serta merancakkan lagi aktiviti dagangan dalam jangka panjang.

 

Sementara itu, Bursa mengumumkan dividen interim sebanyak 16.5 sen sesaham bagi separuh pertama FY26 dengan nisbah pembayaran dividen 92%, lebih tinggi berbanding 14 sen sesaham pada tempoh sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan jumlah dividen FY26 sebanyak 34 sen sesaham, termasuk dividen akhir sekitar 17.5 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada hasil dividen kira-kira 4% berdasarkan harga saham semasa.

 

Walaupun prospek kekal menggalakkan, MBSB Research berkata risiko seperti kelembapan aktiviti dagangan, aliran keluar dana asing yang berterusan, tekanan kos kawal selia dan peningkatan perbelanjaan operasi melebihi jangkaan masih boleh mengehadkan prestasi Bursa dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved