
KUALA LUMPUR: Pengurusan kawalan sempadan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor perlu diperkasakan menerusi penambahbaikan tatakelola bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, mengurangkan jurang kelemahan kawalan dan menjamin keselamatan pintu masuk negara.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menerusi penilaian dijalankan mengesyorkan lima cadangan penambahbaikan melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia dan Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn. Bhd.
Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid berkata, pengukuhan tadbir urus, penyelarasan operasi dan mekanisme kawalan yang lebih sistematik antara ketiga-tiga pihak penting bagi mengurangkan jurang kawalan dan mempertingkatkan integriti penyampaian perkhidmatan.
Antara cadangan dikemukan membabitkana pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di lokasi pemeriksaan kritikal, penggunaan kamera badan (BWC) oleh pegawai barisan hadapan dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara AKPS, Imigresen dan pengurusan terminal.
“Pemasangan sistem pintu pintar yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk secara masa nyata dan pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bersepadu Pengurusan Kawalan Sempadan juga antara perkara dicadangkan,” katanya selepas sesi pembentangan penambahbaikan tatakelola di pejabat AKPS Johor hari ini.
Turut hadir Timbalan Komander dan Pegawai Penghubung AKPS Pasir Gudang, Mohamed Ya’akob Mohamed Sultan dan Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn. Bhd., Mohd. Tuah Mohd. Amin.
Sementara itu Mohamed Ya’akob Mohamed Sultan dan Mohd. Tuah Mohd. Amin menyambut baik cadangan tersebut yang disifatkan sebagai usaha memperkukuh integriti institusi dan mempertingkat pengurusan kawalan sempadan negara.-UTUSAN
The post Kawalan sempadan Terminal Pasir Gudang perlu penambahbaikan appeared first on Utusan Malaysia.






