Kawasan jarang banjir turut diberi perhatian – KP Nadma

LocalEnvironment
30 Oct 2026 • 2:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kawasan jarang banjir turut diberi perhatian – KP Nadma

PUCHONG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut melaksanakan kesiapsiagaan melibatkan kawasan jarang berlaku banjir, biarpun jangkaan bencana pada tahun ini tidak seteruk seperti yang berlaku pada 2021.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kesiapsiagaan oleh pihak Nadma bersama agensi-agensi yang terlibat dilaksanakan mengikut standard pengurusan banjir seperti biasa.

“Ramalan kurang (tidak teruk), tapi persiapan dan kesiapsiagaan kita tak kurang, tetap sama sahaja standard walaupun diramalkan kurang (kesan banjir).

“Saya lebih risau kalau terjadi sebaliknya sebab pengalaman saya hampir lima tahun menguruskan Monsun Timur Laut (MTL) dan banjir ini, yang merisaukan ialah kawasan jarang banjir. Kadangkala kawasan itu kurang buat persiapan.

“Jadi kita tetap buat persiapan macam biasa, saya mengeluarkan arahan sama kepada agensi dan tidak ada perubahan,” katanya pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bencana banjir pada tahun ini dijangka tidak seteruk seperti pada 2021 yang menyaksikan beberapa kawasan, termasuk lokasi jarang dilanda banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, terjejas teruk.

Katanya, perkara ini berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berhubung keadaan ramalan hujan susulan MTL yang bermula akhir Oktober 2026 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

“Ikut ramalan setakat hari ini, tahun ini kita rasa banjir paling kurang (kadar teruk). Kita doakan ramalan ini betul berdasarkan MetMalaysia. Tahun ini paling kurang banjir dan kesan banjir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, episod hujan lebat masih diramalkan pada MTL kali ini, namun maklumat diperolehi tidak menunjukkan sebarang perkara ekstrem.

“Bagaimanapun kita tetap menjalankan pemantauan secara harian. Amaran daripada MetMalaysia ada tiga kategori iaitu amaran hujan lebat tingkat kuning, tingkat jingga dan tingkat merah.

“Ia dikeluarkan bergantung kepada tahap lebatnya hujan. Kita tak boleh cakap sekarang sebab pemantauan dibuat secara harian. Kalau ada potensi berlaku, kita akan keluarkan amaran. Kita cuba buat dalam tempoh satu ke tiga hari (amaran dikeluarkan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kawasan jarang banjir turut diberi perhatian – KP Nadma appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved