Kebakaran hutan di 5 wilayah Indonesia, banjir jejaskan ribuan penduduk Sumatera

WorldEnvironment
30 Oct 2026 • 8:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kebakaran hutan di 5 wilayah Indonesia, banjir jejaskan ribuan penduduk Sumatera

JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah kini dilaporkan berlaku di lima wilayah Indonesia, menjejaskan kawasan seluas 1,410 hektar, manakala banjir melanda ribuan isi rumah di Sumatera Utara, menyebabkan operasi tindak balas bencana diteruskan di seluruh negara.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata, Papua Selatan mencatatkan kawasan terluas yang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran, iaitu 502 hektar berdasarkan data sehingga pukul 7 pagi waktu tempatan hari ini.

Ia diikuti Sulawesi Tengah (295 hektar), Sulawesi Tenggara (257 hektar), Maluku (182 hektar) dan Kalimantan Timur (174 hektar).

“Corak kebakaran telah banyak berubah. Sebelum ini, kebakaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, namun hari ini kita menyaksikan kebakaran di Kalimantan Timur, Sulawesi Tengah dan Sulawesi Tenggara, Maluku serta Papua Selatan,” katanya dalam taklimat video.

Berton berkata, sebanyak 58 pesawat masih dikerahkan bagi operasi pemadaman kebakaran, terdiri daripada 23 pesawat untuk rondaan, pemantauan dan operasi pengubahsuaian cuaca serta 35 helikopter pengeboman air.

Beliau berkata, sebanyak 23,900 kilogram bahan pembenihan awan, termasuk garam dan ais kering, telah digunakan di Kalimantan dan Sumatera Selatan.

Menurutnya, bacaan kualiti udara tidak sihat direkodkan di Sendawar, daerah Kutai Barat, serta di tiga stesen pemantauan di Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Dalam perkembangan berasingan, Berton berkata, banjir di Sumatera Utara menjejaskan 7,615 isi rumah.
Beliau berkata, tujuh wilayah, iaitu Aceh, Lampung, Bengkulu, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Selatan dan Sumatera Utara, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga yang dipertingkatkan susulan risiko hujan lebat hingga sangat lebat.

Ramalan cuaca turut menunjukkan potensi hujan sederhana hingga lebat di beberapa kawasan di Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Jawa, Bali, Maluku, Maluku Utara, Nusa Tenggara Barat, Nusa Tenggara Timur dan Papua. – Bernama

The post Kebakaran hutan di 5 wilayah Indonesia, banjir jejaskan ribuan penduduk Sumatera appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved