
PUCHONG – Orang ramai diminta tidak membuat pembelian panik dan terperdaya dengan maklumat palsu disebarkan menerusi media sosial, susulan ramalan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pembelian panik tersebut dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain dari segi bekalan makanan kepada orang ramai.
“Saya pun ada tengok Facebook, sahabat saya suruh simpan makanan. Ini berita-berita pembelian panik, kita elakkanlah. Kadangkala pembelian panik ini jadi isu lain bukan bencana MTL, tapi bencana barang pula.
“Tak perlu, beli sekadar yang perlu sahaja. Makanan, minuman dan sebagainya untuk rakyat kita, insya-Allah beli ikut keperluan. Buat persiapan biasa, simpan benda dan barang penting di tempat tinggi misalnya,” katanya pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media Berkenaan Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), ibu selepas bersalin, warga emas dan kanak-kanak diminta berpindah segera bagi mengelakkan terkandas di dalam banjir.
“Bersiap sedia untuk berpindah bila dapat ramalan. Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kita pun dah bersedia untuk mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Meor Ismail berkata, mana-mana pihak terutama pempengaruh untuk tidak membuat konten yang boleh mengundang sensasi serta mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai.
“Jangan keluarkan berita menyebabkan sensasilah termasuk influencer (pempengaruh). Pengalaman lalu pernah kita tangkap orang macam ni, dia keluarkan video yang boleh buat orang panik. Tujuannya untuk follower (pengikut) sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir: Jangan buat pembelian panik – KP Nadma appeared first on Kosmo Online.





