KBS pastikan isu menimpa Goh Jin Wei & Lee Zii Jia di Paris tidak berulang

7 Aug 2024 • 10:54 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan setiap perkara berhubung penglibatan atlet ke temasya sukan yang besar perlu dibincangkan lebih awal, melibatkan semua pihak berkepentingan.

Ini berikutan bagi memastikan isu yang menimpa pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan perseorangan wanita Goh Jin Wei di Olimpik Paris, tidak berulang pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, isu ini bukan hanya melibatkan pihak berkepentingan sahaja tetapi juga perlu mengambil kira suara dari peminat dan penyokong.

“Walaupun sudah diperjelaskan isu tersebut, sedikit sebanyak Kementerian Belia dan Sukan menerima tempiasnya.

“Kita kena letak kepentingan pihak berkepentingan kita, bukan hanya atlet dan persatuan tetapi juga peminat dan penyokong,” katanya.

Dinafikan kehadiran

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mendakwa pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, dinafikan kehadiran ahli fisioterapi dan pasangan pelatih, manakala jurulatih pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei, Nova Armada tidak dapat bersamanya di Paris.

Dalam masa sama, peminat sukan tanah air mula mempersoalkan tindakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria dapat membawa keluarganya ke temasya sukan itu.

Lantaran itu, mereka menyalahkan Norza di atas apa yang berlaku ke atas Lee Zhii Jia dan Jin Wei walaupun beberapa penjelasan telah diberikan oleh beliau.

Sementara itu, Adam Adli berkata, bidang sukan bukanlah bidang yang mudah diuruskan. Kementerian bukan hanya berdepan dengan pengurusan soal prestasi atlet dalam bidang sukan, malah fokus kepada penyediaan ekosistem fasiliti sukan yang terbaik, supaya pembangunan sukan dapat dilaksanakan.

Sumber: Sinar Harian