
PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan parti serta usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun perlu dilakukan bagi memastikan KDM mempunyai hala tuju yang jelas serta tidak hanya dilihat aktif ketika musim pilihan raya.
“Apa yang penting adalah sebagai persiapan menghadapi PRN dan PRU, parti KDM bersama-sama dengan Majlis Tertinggi parti telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam kerajaan GRS.
“Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting bagi kami adalah untuk menunjukkan kepada rakyat dan ahli-ahli di akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju yang jelas untuk mereka,” katanya ada sidang media selepas Majlis Amanat dan Hala Tuju Parti KDM Menjelang PRU Ke-16 di Beringgis Resort, di sini, hari ini.
Mengulas kedudukan pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Priscella berkata, parti akan mematuhi protokol yang ditetapkan susulan keputusan menarik sokongan daripada kerajaan GRS.
“Kami akan mengikut protokol yang ditetapkan nanti, kemudian kita akan lihat. Tetapi jika menarik sokongan daripada kerajaan, sekiranya protokol menyatakan perlu melepaskan jawatan, maka itulah yang akan berlaku,” katanya.
Priscella berkata, keputusan berkenaan dibuat secara bersama dan bukan keputusan individu, selain mengambil kira kepentingan parti serta generasi akan datang.
“Sebagai sebuah parti, kita mungkin kecil, tetapi saya rasa ini adalah pergerakan terbaik untuk kita menghadapi PRU akan datang demi perubahan di Sabah,” katanya.
Menurut Priscella, perkembangan yang berlaku selepas pilihan raya lalu memberi kesan kepada parti dan menjadi antara pertimbangan dalam keputusan untuk bergerak di luar kerajaan GRS.
Katanya, KDM perlu mula membina semula keyakinan rakyat sebelum pilihan raya akan datang dan bukan hanya mengambil tindakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
“Keputusan yang kami ambil hari ini adalah untuk menunjukkan penegasan, bukan sahaja apabila pilihan raya atau PRU akan datang, tetapi sebelum itu lagi kita perlu bergerak untuk membina dan mendapatkan semula kepercayaan daripada rakyat di akar umbi.
“Ini supaya masyarakat tidak berfikir bahawa parti kita hanya bertindak semasa pilihan raya atau apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Priscella berkata, KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU akan datang, sebaliknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan dalam usaha membentuk blok politik berteraskan kepentingan Sabah.
Katanya, perbincangan dengan beberapa parti tempatan termasuk Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah diadakan secara tidak rasmi, namun belum ada keputusan muktamad mengenainya.
“Dengan WARISAN, mungkin ya. Dengan STAR, ya. Tetapi kami belum membuat keputusan muktamad kerana kami perlu mengadakan perbincangan lanjut. Kami lebih ke arah bekerjasama dengan parti tempatan,” katanya.
Menurutnya, pembentukan Blok Borneo yang dicadangkan masih memerlukan perbincangan lanjut bersama Ahli Majlis Tertinggi KDM sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Katanya, setakat ini perbincangan dengan parti lain masih bersifat tidak rasmi dan belum memasuki fasa rundingan rasmi.
“Kami berkawan (dengan parti lain) dan kami ada berbincang, tetapi keputusan akhir belum lagi diumumkan. Belum memulakan perbincangan rasmi lagi. Setakat ini hanya perbincangan santai secara kopi-kopi (santai),” katanya. –UTUSAN
The post KDM umum tarik sokongan kepada GRS appeared first on Utusan Malaysia.





