
MELAKA: Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mesyuarat Kabinet Rabu ini bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusan berhubung perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Kabinet selepas beliau mengumumkan hasrat kerajaan untuk memansuhkan akta berkenaan dalam ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026, hari ini.
“Saya akan bawa ke Kabinet hari Rabu,” katanya selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dan merasmikan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapan dasar, Anwar berkata, keputusan memansuhkan AUKU dibuat susulan masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan akta berkenaan meskipun beberapa pindaan telah dilakukan sebelum ini.
“Akta Universiti dan Kolej, ada yang tidak puas hati. Mereka minta mansuhkan.
“Pada hari ini saya dah umumkan, kita akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden.
Anwar berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda reformasi yang perlu diteruskan dengan lebih tegas, termasuk dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau, mahasiswa perlu diberikan ruang dan peluang yang lebih luas untuk berkembang, termasuk dalam aspek pemikiran, kebebasan bersuara dan penglibatan dalam kehidupan masyarakat.
Beliau berkata, reformasi pendidikan tidak seharusnya terhenti pada pendidikan tinggi, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat awal dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak dalam bidang digital dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Reformasi pendidikan sedang dilakukan, termasuk memberikan pendedahan kepada anak-anak pada peringkat awal dalam bidang digital dan STEM serta menyediakan prasekolah untuk semua.
“Prasekolah tidak boleh hanya berkualiti untuk anak-anak di bandar, sementara anak-anak di pedalaman dan desa menerima pendidikan kelas kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata agenda reformasi perlu diteruskan selepas kerajaan berjaya memastikan kestabilan politik, keselamatan negara terpelihara dan ekonomi terus berkembang dalam tempoh tiga tahun pentadbiran.
“Dalam tempoh tiga tahun, kita telah menjamin kestabilan politik, keselamatan yang terpelihara dan ekonomi yang berkembang.
Sekarang, kita mesti meneruskan dengan lebih tegas agenda reformasi dalam beberapa perkara yang masih tertangguh,” katanya.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU juga perlu dilihat sebagai usaha mengembalikan keyakinan terhadap mahasiswa dan institusi pendidikan tinggi supaya universiti dapat menjadi medan percambahan ilmu, perdebatan dan pembentukan pemikiran yang matang. –UTUSAN
The post Cadangan mansuh AUKU dibawa ke Kabinet Rabu – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.






