
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penjara.
Perkara itu disahkan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib kepada Utusan Malaysia yang memaklumkan bahawa urusan berkenaan merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
“Untuk makluman, beliau akan dibawa ke Kajang bagi menunaikam solat jumaat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nazifuddin berkata, keputusan mengenai siapa yang akan tinggal bersama bapanya masih belum dimuktamadkan dan belum ada sebarang perbincangan lanjut berhubung perkara itu.
Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu bapanya dua hari lalu dan turut merancang membawa anak-anaknya bertemu Najib namun perkara itu tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya mahu memberi ruang kepada beliau untuk berehat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anaknya, Nooryana Najwa memaklumkan, pihak keluarga menyambut baik perkembangan berkenaan dan bersyukur kerana akhirnya mempunyai ruang untuk meluangkan masa bersama bapa mereka dalam suasana kekeluargaan yang lebih dekat.
“Selepas melalui tempoh yang panjang dan mencabar perkara paling dinantikan keluarga sebenarnya cukup sederhana iaitu dapat duduk semeja, berbual serta menjalani rutin harian bersama beliau seperti keluarga lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu tahanan rumah, Nooryana Najwa menegaskan bahawa urusan pengampunan dan pelaksanaan keputusan berkaitan perlu dihormati serta dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang.
Katanya, keluarga menghormati perbezaan pandangan, namun berharap hak dan kebajikan mereka tidak dijadikan bahan serangan politik.
“Bapa saya (Najib) juga merupakan seorang suami, bapa dan datuk yang mempunyai keluarga yang sentiasa menantikan kepulangannya,” jelasnya. – UTUSAN
The post Najib dijangka tunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang appeared first on Utusan Malaysia.





