KDN tidak ‘pukul borong’ isu dokumen mangsa kebakaran Sandakan

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 2:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KDN tidak ‘pukul borong’ isu dokumen mangsa kebakaran Sandakan
Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan sebuah Multi Purpose Mission Ship kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Bangunan Setia Perkasa pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengambil pendekatan ‘pukul borong’ dalam menangani isu dokumentasi mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap kes akan diteliti secara individu dan berperingkat bagi memastikan hanya mereka yang layak diberikan dokumen pengenalan diri.

“Kita tidak boleh buat satu kenyataan umum ya, sepertimana biasa sebab soal pemilikan dokumen peribadi ini sangat penting untuk dimiliki,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Saifuddin Nasution berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan mangsa terjamin terlebih dahulu sebelum proses pengesahan status dilakukan.

"Pada masa yang sama kerajaan tak boleh juga sewenang-wenangnya berikan (dokumen pengenalan diri) kepada mereka yang tidak layak memilikinya,” katanya.

Insiden kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia awal pagi Ahad lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 9,000 penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah musnah.

Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing berkata, hampir 90 peratus rumah di perkampungan itu terbakar, sekali gus menjadikannya kebakaran terbesar pernah direkodkan di kawasan berkenaan selepas insiden pada 1994 dan 2001.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menjelaskan keutamaan pada masa ini adalah untuk menyediakan pusat penempatan sementara buat mangsa.

"Kerajaan Sabah bersama semua agensi negeri dan pusat sedang melakukan proses pendaftaran terhadap lebih 9,000 mangsa," katanya.