Sektor pembinaan meningkat kepada RM47.8 bilion pada suku kedua

Business & Finance
13 Aug 2026 • 4:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sektor pembinaan meningkat kepada RM47.8 bilion pada suku kedua

PETALING JAYA: Sektor pembinaan negara terus memaparkan momentum pertumbuhan kukuh apabila nilai kerja meningkat 8.8 peratus kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman yang masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.6 peratus dan 13.3 peratus.

Menurutnya, subsektor bangunan kediaman turut mencatatkan peningkatan sebanyak 8.7 peratus, manakala subsektor kejuruteraan awam berkembang 2.7 peratus.

“Subsektor kejuruteraan awam merupakan penyumbang utama kepada jumlah nilai kerja pembinaan pada suku ini, berjumlah RM16.7 bilion atau 35.0 peratus, dipacu oleh aktiviti pembinaan projek utiliti (RM8.1 bilion) serta jalan raya dan landasan kereta api (RM6.9 bilion).

“Sementara itu, nilai kerja bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM14.0 bilion dan RM10.9 bilion. Subsektor aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM6.2 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut sektor pemilik projek, DOSM berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan menyumbang RM31.4 bilion atau 65.8 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kerja pembinaan.

Sektor swasta mengekalkan momentum pertumbuhan dua digit sebanyak 11.4 peratus, manakala nilai kerja pembinaan oleh sektor awam pula meningkat 4.1 peratus kepada RM16.4 bilion.

“Bagi prestasi mengikut negeri, hampir 65.8 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

“Selangor mencatatkan sumbangan tertinggi berjumlah RM12.2 bilion, diikuti Johor sebagai penyumbang kedua dengan RM9.4 bilion, manakala Wilayah Persekutuan mencatatkan RM5.2 bilion dan Sarawak sebanyak RM4.7 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, DOSM berkata, nilai kerja pembinaan bagi separuh tahun pertama 2026 mencapai RM94.3 bilion, merekodkan peningkatan sebanyak 8.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025. – UTUSAN

The post Sektor pembinaan meningkat kepada RM47.8 bilion pada suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved