
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap untuk mengkaji undang-undang negara dan mengemukakan syor pembaharuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, suruhanjaya itu dicadangkan sebagai mekanisme yang khusus dan berstruktur bagi memastikan pembaharuan undang-undang dapat dilaksanakan secara sistematik.
Katanya, syor pembaharuan menerusi suruhanjaya berkenaan juga akan dilaksanakan secara berterusan, bebas dan berasaskan bukti.
“Reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ad hoc atau hanya digerakkan apabila timbul sesuatu krisis.
“Tetapi, ia perlu dilaksanakan secara terancang agar kerangka perundangan negara sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Azalina berkata, reformasi undang-undang juga tidak harus dianggap sebagai satu bentuk serangan terhadap mana-mana institusi atau profesion.
Sebaliknya, beliau berkata, undang-undang yang jelas akan memperincikan tanggungjawab, mengurangkan pertindihan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi.
“Inilah pendekatan bagi mewujudkan undang-undang yang jelas, proses yang telus dan institusi yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya. –UTUSAN
The post Kerajaan teliti tubuh Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang appeared first on Utusan Malaysia.





