
NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Panggilan “saudaraku” antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi menyerlahkan keakraban dalam pertemuan dua hala kedua-dua pemimpin itu di sini.
Anwar dan Modi mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di Hyderabad House, iaitu Rumah Tetamu Negara di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar India.
Hyderabad House lazimnya menjadi lokasi bagi mesyuarat dua hala, jamuan negara dan pertemuan dengan pemimpin asing.

Malaysia menyertai sidang kemuncak itu selaku negara rakan BRICS sejak 1 Jan 2025.
Anwar tiba di sini pada Jumaat bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang dihoskan oleh Modi. Ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke India selepas yang pertama pada Ogos 2024.
Baca juga:
Modi Hargai Sambutan Mesra Oleh PM Anwar
Misi Diplomasi 'Guru' Diteruskan, Anwar Bertemu Pezeshkian & Abbas Araghchi
PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Putin, Bincang Kerjasama Malaysia-Rusia
Malaysia dan India yang mempunyai hubungan sejak sekian lama bermula 1957 telah meningkatkan hubungan berkenaan kepada perkongsian strategik komprehensif ketika lawatan pertama Perdana Menteri di sini.
India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.
Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, selain produk elektrik dan elektronik manakala import pula terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan bahan kimia.





