
PETALING JAYA – Malaysia terus memperkukuh hubungan persahabatan dengan Iran serta membincangkan hala tuju kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu disampaikan semasa bertemu dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian di New Delhi hari ini.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu pihaknya menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berlarutan serta ketegangan yang terus memuncak di Asia Barat.
“Malaysia menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kembali ke meja rundingan serta mengutamakan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan pertikaian secara aman.
“Malaysia berpendirian bahawa kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz perlu terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Anwar berkata, sebarang gangguan akan membawa kesan besar terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan ekonomi dunia.
“Kami turut meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan Malaysia-Iran, khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi.
“Usai mesyuarat dua hala, saya dan Dr Masoud sempat berbicara secara empat mata.
“Insya-Allah Malaysia sedia menterjemahkan hubungan persahabatan ini kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Persahabatan Malaysia-Iran terus diperkukuh appeared first on Kosmo Online.





