MSN Perlis pantau pemulihan Muhammad Hafizuddin di HKL

18 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MSN Perlis pantau pemulihan Muhammad Hafizuddin di HKL
MSN Perlis terus memantau perkembangan pemulihan Muhammad Hafizuddin yang kini menerima rawatan di HKL susulan kemalangan jalan raya Isnin lepas.
Image from: MSN Perlis pantau pemulihan Muhammad Hafizuddin di HKL
Muhammad Hafizuddin

MAJLIS Sukan Negeri (MSN) Perlis terus memantau perkembangan pemulihan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kemalangan jalan raya Isnin lepas.

Pengarahnya, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menyelaraskan gerak kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis bagi memastikan perkembangan kesihatan atlet berkenaan dipantau rapat.

Menurutnya, MSN Perlis turut menyambut baik tindakan pantas dan keprihatinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN dalam menyediakan perlindungan kebajikan menyeluruh kepada Hafizuddin.

Beliau berkata, inisiatif melalui kerjasama KBS, MSN, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Skim Lindung 24 Jam Perkeso merangkumi pengekalan elaun latihan dan pembiayaan penuh kos rawatan.

"Perlindungan itu turut merangkumi manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup.

"Selain itu, penginapan dan makanan ahli keluarga di HKL turut disediakan bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang tempoh rawatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

**media[3714844]**

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Hafizuddin terpaksa menjalani pembedahan sehingga tangan kanannya dipotong atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya.

Atlet kelahiran Perlis itu dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), mengakibatkan kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.

Lebih memilukan, kejadian itu berlaku ketika Muhammad Hafizuddin berada pada kemuncak prestasi selepas mencipta kejayaan membanggakan dengan meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Beliau mencatatkan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram menerusi 162 kilogram dalam acara snatch dan 183 kilogram bagi acara clean and jerk.

Kejayaan itu turut menyaksikan Hafizuddin mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.

Di atas kejayaan tersebut, Muhammad Hafizuddin menerima insentif sempena Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Perlis di Sukan Malaysia (Sukma) XXll Selangor, Sukan Para Sukma Selangor 2026, Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta Sukan Asia dan Para Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini.

Menurut Syed Ahmed Najib, MSN Perlis mahu memastikan kebajikan atlet itu terus terbela bukan sahaja ketika menjalani rawatan, malah turut meliputi sokongan psikososial dan rehabilitasi jangka panjang.

Katanya, perancangan laluan kerjaya baharu juga akan diberi perhatian selepas atlet berkenaan pulih kelak bagi memastikan masa depannya terus terjamin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved