Kebakaran Jeti Chew: Kepantasan bomba elak kebakaran merebak ke stesen minyak, kawasan perumahan

5 Sep 2026 • 11:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kebakaran Jeti Chew: Kepantasan bomba elak kebakaran merebak ke stesen minyak, kawasan perumahan

GEORGETOWN: Kepantasan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bertindak berjaya mengawal kebakaran lima premis di Jeti Chew di sini, awal pagi tadi, daripada merebak ke stesen minyak berhampiran.

Lima premis berkenaan membabitkan sebuah kedai cat kereta, bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.

​Pegawai Operasi Zon 1 Daerah Timur Laut, Rosli Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi berhubung kejadian itu.

Susulan itu, beliau berkata, operasi pemadaman segera dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak, BBP Paya Terubong dan BBP Bayan Baru dengan kekuatan seramai 30 anggota.

“Setiba di lokasi, api didapati marak dengan cepat berikutan kedudukan setiap premis itu berada dalam keadaan rapat.

“Operasi itu turut dibantu sebanyak 17 Pasukan Bomba Sukarela (PBS), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika ditemui di lokasi.

Bagaimanapun, Rosli berkata, tiada mangsa terbabit dalam insiden berkenaan.

“Pasukan bomba juga berjaya menyelamatkan sebuah stesen minyak yang terletak berdekatan, selain kawasan perumahan di sekitar lokasi daripada kebakaran itu.

“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Hadir sama di lokasi ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.

Sementara itu saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Huan, 50, berkata ketika melalui jalan berkenaan untuk pulang ke rumahnya di Jelutong, beliau terkejut melihat orang ramai berkumpul dalam keadaan cemas.

“Ada yang dilihat segera mengubah kedudukan kenderaan mereka sebelum pasukan bomba tiba tidak lama kemudian.

“Lokasi ini terletak berhampiran Jeti Chew yang menempatkan rumah warisan yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

 

 

 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

The post Kebakaran Jeti Chew: Kepantasan bomba elak kebakaran merebak ke stesen minyak, kawasan perumahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved