
ALOR SETAR – Kira-kira 40,000 masyarakat berbilang kaum memenuhi Dataran Medan Bandar, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri Kedah.
Lebih 3,000 peserta membabitkan 96 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai sambutan kali ini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke sambutan berkenaan. Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.
Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu negeri, Allah Selamat Sultan sebelum Sultan Sallehuddin memeriksa kawalan kehormatan utama dari Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Rejimen.
Sambutan diteruskan dengan persembahan koir, persembahan tarian dan perbarisan kontinjen melintasi pentas utama.
Pengunjung juga disajikan dengan acara terbang lintas hormat melibatkan aset latihan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tiga pesawat Pilatus PC-7 MK II dari INSPEN 1 serta dua pesawat EC 120B dari INSPEN 2 yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar.
Pameran aset ketenteraan RAMD turut diadakan di Dataran Medan Bandar dengan mempamerkan pelbagai aset ketenteraan antaranya empat kenderaan pengangkut tempur infantri GEMPITA oleh 19 RAMD Mekanize – KOSMO! ONLINE
The post 40,000 banjiri Dataran Medan Bandar semarak Hari Kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.






