Kebergantungan Sunway Construction kepada projek pusat data berpotensi cetus risiko - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kebergantungan Sunway Construction kepada projek pusat data berpotensi cetus risiko - Penganalisis Image from: Kebergantungan Sunway Construction kepada projek pusat data berpotensi cetus risiko - Penganalisis hamden06/11/2026 - 09:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - : Kebergantungan tinggi Sunway Construction Group Bhd (SunCon) terhadap projek pusat data (DC) dalam buku tempahannya berpotensi menimbulkan risiko, sekali gus meningkatkan keperluan kumpulan itu mempelbagaikan pendedahan kepada sektor pembinaan lain bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang, menurut penganalisis pasaran.

 

CGS International (CGSI) Research berkata, ini berikutan kira-kira 74% daripada buku tempahan semasa SunCon bernilai RM13.4 bilion disumbangkan oleh projek pusat data, sekali gus mendedahkan kumpulan itu kepada risiko sekiranya kitaran perbelanjaan modal (capex) kecerdasan buatan (AI) global mula menyederhana.

 

Firma penyelidikan itu berkata, usaha SunCon memperluas penglibatan dalam segmen lain seperti kilang semikonduktor, gudang perindustrian dan projek infrastruktur kerajaan boleh menjadi pemangkin positif kepada harga sahamnya.

 

"SunCon juga mungkin berdepan kesukaran mengisi kekosongan projek pusat data sekiranya momentum pelaburan AI global mula perlahan, justeru kepelbagaian sumber kontrak menjadi semakin penting bagi menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Senada dengan firma itu, BIMB Securities turut menyenaraikan kebergantungan terhadap pelanggan pusat data hiperskala sebagai antara risiko utama, selain kelewatan pelaksanaan projek dan kos bahan binaan.

 

Kontrak pusat data kedua di Serendah, Selangor

Dalam perkembangan terbaharu, SunCon memperoleh kontrak pusat data hiperskala kedua di Serendah, Selangor bernilai RM1.739 bilion daripada sebuah syarikat multinasional (MNC) Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan pelanggan sedia ada.

 

Kontrak itu merangkumi pembinaan struktur teras dan luaran bangunan, infrastruktur kampus serta kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

Kerja-kerja dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 (4Q26F) dan disiapkan pada suku keempat 2028 (4Q28F).

 

Kontrak pusat data pertama di Serendah bagi pelanggan sama diumumkan pada April 2026, dengan nilai RM1.75 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat masih terdapat satu lagi kontrak pusat data untuk tapak berkenaan yang berkemungkinan hanya dianugerahkan pada tahun kewangan 2027 (FY27F).

 

Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah perolehan kontrak SunCon setakat 11 November 2026 mencecah RM9.8 bilion, sekali gus meningkatkan buku tempahannya kepada RM13.4 bilion.

 

Jumlah itu sudah melepasi sasaran perolehan kontrak baharu kumpulan sebanyak RM7 bilion hingga RM9 bilion bagi FY26F.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tidak menjangkakan SunCon memperoleh sebarang lagi kontrak baharu yang ketara sepanjang baki FY26F.

 

Keuntungan sebelum cukai

Bagi kontrak terbaharu itu, firma penyelidikan menganggarkan margin sebelum cukai sekitar 10%, lebih rendah berbanding 13.3% hingga 16.5% yang direkodkan antara 4Q26 hingga 2Q26, susulan manfaat insentif penyiapan projek lebih awal.

 

SunCon kini mempunyai tender bernilai kira-kira RM11 bilion, dengan sekitar 70% daripadanya membabitkan projek pusat data.

 

Kumpulan itu merancang memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan potensi peningkatan skala daripada projek pusat data sedia ada, selain menembusi pasaran pelanggan baharu secara terpilih.

 

Antara projek yang mempunyai potensi peningkatan skala lebih besar ialah JHB1XO Building 2, yang dijangka dimuktamadkan menjelang tahun kalendar 2027 (CY27F) selepas pelanggan memuktamadkan penyewa.

 

Selain itu, terdapat kemungkinan satu lagi arahan perubahan kerja (VO) atau peluasan bagi JHB1XO Building 1.

 

Bagaimanapun, CGSI berpandangan perkembangan kontrak baharu yang terus menarik minat pelabur perlu disokong oleh prestasi pendapatan yang sama kukuh, terutama ketika jangkaan pasaran terhadap kumpulan semakin meningkat.

 

Firma itu mengekalkan saranan PEGANG terhadap SunCon dengan harga sasaran RM8.30 berdasarkan model pertumbuhan Gordon (GGM), dengan andaian pertumbuhan jangka panjang 4.5%, kos ekuiti 7.7% dan ROE 45%.

 

Sementara itu BIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap SunCon, namun menaikkan harga sasaran kepada RM10.63 daripada RM9.62 sebelum ini.

 

Penilaian itu berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 24 kali, tidak berubah, terhadap unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 yang disemak semula kepada 44.3 sen.

 

Harga sasaran baharu itu menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 37.2%, dengan jumlah pulangan dianggarkan sekitar 41% termasuk dividen sesaham (DPS) FY26 sebanyak 34.3 sen.

 

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan keuntungan bersih teras SunCon bagi FY27 berkembang sebanyak 38.8% tahun ke tahun. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved