sarah05/11/2026 - 09:02 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) berpotensi memperoleh kontrak baharu melebihi RM9 bilion menjelang akhir 2026, dipacu permintaan kukuh terhadap pembinaan pusat data di Malaysia serta peluang projek tambahan bernilai sehingga RM2 bilion.
Menurut laporan penyelidikan RHB Investment Bank, BIMB Securities dan MBSB Research, jumlah kontrak baharu yang diperoleh SunCon setakat tahun ini mencecah RM8.06 bilion, manakala buku tempahannya meningkat ke paras tertinggi RM11.7 bilion selepas menerima kontrak tambahan bernilai RM920.8 juta di Johor.
RHB Investment Bank berkata, pencapaian itu menghampiri sasaran perolehan kontrak baharu RM9 bilion bagi 2026, dengan potensi untuk mengatasi jumlah berkenaan sekiranya kumpulan berjaya memperoleh beberapa projek pusat data yang masih dalam peringkat tender.
"Kontrak baharu SunCon setakat tahun ini sudah mencecah RM8.1 bilion berbanding sasaran RM9 bilion, dengan potensi peningkatan sekiranya kumpulan memperoleh lebih banyak projek sebelum akhir tahun," menurut firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Kontrak RM920.8 juta perkukuh kedudukan dalam sektor pusat data
Kontrak terbaharu bernilai RM920.8 juta itu melibatkan kerja tambahan pemasangan sistem mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) bagi sebuah pusat data di Johor yang dibangunkan oleh syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dengan kerja dijadualkan siap menjelang suku pertama 2028.
RHB berkata, kontrak berkenaan mencerminkan keyakinan pelanggan sedia ada terhadap keupayaan SunCon selepas kumpulan itu memperoleh kontrak MEP bernilai kira-kira RM1 bilion daripada pelanggan sama pada Ogos lalu, selain projek pembinaan struktur utama pusat data bernilai RM570 juta pada Disember 2025.
Firma penyelidikan itu menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai bagi kerja MEP tersebut berada antara 8% hingga 10%, manakala projek berpotensi dalam tempoh terdekat termasuk pembangunan pusat data di Johor, baki fasa projek JHB1X0 di Sedenak serta pembangunan berorientasikan transit di Bukit Chagar.
Projek pusat data kuasai 70% buku tempahan RM11.7 bilion
Sementara itu, MBSB Research berkata, kira-kira 70% daripada buku tempahan SunCon bernilai RM11.7 bilion terdiri daripada projek pusat data, sekali gus menjadikan segmen itu penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, SunCon berpotensi memperoleh kontrak tambahan bernilai RM1 bilion hingga RM2 bilion, termasuk pembangunan fasa kedua pusat data di Serendah, Selangor, selain memiliki senarai tender aktif bernilai RM15.3 bilion setakat Ogos 2026 yang sebahagian besarnya melibatkan projek pusat data di Johor dan Lembah Klang.
MBSB Research turut melihat peluang pengembangan SunCon ke pasaran Singapura, Indonesia dan Thailand melalui pelanggan sedia ada, walaupun projek berkenaan masih pada peringkat awal dan dijangka hanya menyumbang selepas 2028. Kedudukan tunai bersih kumpulan sebanyak RM1.22 bilion juga menyediakan ruang untuk menyertai lebih banyak projek berskala besar.
Keuntungan dijangka meningkat pada 2027
BIMB Securities pula menjangkakan sebahagian besar sumbangan daripada kontrak RM920.8 juta akan direkodkan pada 2027, dengan keuntungan bersih teras SunCon diunjurkan meningkat 25.8% kepada RM528.3 juta. RHB turut menganggarkan keuntungan teras suku ketiga 2026 antara RM110 juta hingga RM120 juta, meningkat 16% hingga 27% menjelang pengumuman keputusan kewangan pada 19 November ini.
Ketiga-tiga firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham SunCon, dengan RHB menetapkan harga sasaran tertinggi RM10.07, menawarkan potensi kenaikan 31% daripada harga rujukan RM7.68, diikuti BIMB Securities pada RM9.62 dengan potensi kenaikan 25.3% dan MBSB Research pada RM9.18 dengan potensi kenaikan 19.5%.- DagangNews.com




