Kecoh di media sosial Roberto Carlos peluk Islam

FootballSports
19 Aug 2026 • 11:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kecoh di media sosial Roberto Carlos peluk Islam

SAO PAULO – Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos, dikhabarkan telah memeluk Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah kira-kira empat minggu lalu.

Khabar mengenai status agama bekas bintang Real Madrid itu didedahkan seorang Ahli Parlimen Turkiye, Ali Şahin menerusi satu hantaran di media sosial semalam.

Menurut Şahin, beliau memperoleh maklumat itu selepas bertemu Sheikh Jihad Hammadeh, tokoh komuniti Islam di Brazil ketika mengadakan pertemuan di Sao Paulo.

Menerusi perkongsian tersebut, Sheikh Jihad dikatakan memaklumkan bahawa Roberto Carlos sudah lama berkomunikasi dengannya sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Roberto Carlos, 53, didakwa mengunjungi Sheikh Jihad kira-kira empat minggu lalu sebelum mengucapkan syahadah dan memilih Islam sebagai agamanya.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Roberto Carlos masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan.

Khabar itu turut menjadi perhatian selepas kehidupan peribadi bekas pemain pertahanan kiri Brazil tersebut menjadi tumpuan susulan perkahwinannya dengan sorang wanita Maghribi, Souheila Tahiri.

Souheila merupakan seorang pengusaha serta ejen pemain bola sepak berlesen FIFA yang mempunyai latar belakang Maghribi-Lubnan.

Majlis perkahwinan pasangan itu yang berlangsung secara tertutup turut dilaporkan mempunyai unsur Islamik dan dihadiri seorang tokoh agama.

Perkembangan tersebut kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat apabila berita mengenai Roberto Carlos didakwa memeluk Islam mula tersebar luas di media sosial.

Roberto Carlos dikenali sebagai antara pemain pertahanan kiri terbaik dalam sejarah bola sepak dunia, khususnya ketika mewakili Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil.

Sepanjang kariernya bersama Real Madrid, dia membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara selain meraih pelbagai kejuaraan domestik.

Dia turut menjadi sebahagian daripada skuad Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun. – Agensi

The post Kecoh di media sosial Roberto Carlos peluk Islam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved