
SAO PAULO: Legenda bola sepak Brazil dan bekas pemain Fenerbahçe, Roberto Carlos dilaporkan memeluk Islam di Brazil, menurut seorang anggota Parlimen Turkiye yang memetik kenyataan tokoh masyarakat Islam di negara berkenaan.
Anggota Parlimen daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) yang memerintah, Ali Şahin berkata, beliau mendapat maklumat mengenai dakwaan pengislaman Carlos ketika mengadakan pertemuan dengan wakil komuniti Islam Brazil di Sao Paulo.
Menurut Şahin, Naib Presiden merangkap Penasihat Agama Persatuan Kebangsaan Pakar Undang-Undang Islam (ANAJI), Sheikh Jihad Hammadeh berkata, Carlos sudah lama berhubung dengannya dan mengunjunginya kira-kira empat minggu lalu.
Sheikh Jihad dilaporkan memberitahu Şahin bahawa Carlos melafazkan syahadah ketika kunjungan itu sebelum memeluk Islam.
Şahin kemudian berkongsi dakwaan berkenaan di media sosial selepas mengadakan pertemuan dengan Sheikh Jihad serta wakil beberapa pertubuhan Islam di Brazil.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Carlos serta mendoakan keamanan, kesihatan dan kesejahteraan buat bekas pemain pertahanan itu dan keluarganya.
Beberapa wakil komuniti Islam Brazil turut menghadiri pertemuan berkenaan, termasuk Presiden Liga Belia Kebajikan Islam, Charif Neto; Presiden Yayasan Masjid Pari, Omar Aref, serta wakil ANAJI.
Carlos, 53, secara meluas dianggap antara pemain bek kiri terhebat dalam sejarah bola sepak.
Beliau mencipta nama menerusi karier cemerlang bersama Real Madrid sebelum menyertai kelab Turkiye, Fenerbahçe pada 2007.
Dakwaan pengislaman itu muncul ketika terdapat laporan Carlos turut berkahwin dengan ejen bola sepak kelahiran Maghribi, Suhayla At Tohiri yang berpangkalan di Sepanyol.
Bagaimanapun, Carlos belum mengesahkan secara terbuka dakwaan beliau telah memeluk Islam dan setakat ini, laporan berkenaan hanya bersandarkan kenyataan wakil komuniti Islam Brazil serta anggota Parlimen Turkiye tersebut.
The post Roberto Carlos dilaporkan peluk Islam appeared first on Utusan Malaysia.



