
BAYANGKAN tengah berehat di katil hospital, tiba-tiba ada ‘tetamu’ tidak diundang bersayap datang singgah.
Bukan setakat singgah, siap tumpang sekaki mematuk baki makanan di dalam bekas pesakit!
Kejadian unik tapi membimbangkan itu mula kecoh di aplikasi Threads selepas satu klip video memaparkan beberapa ekor burung merpati selamba berterbangan dan berkeliaran di dalam wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Rata-rata warga maya yang menonton meluahkan rasa kurang senang, malah ada yang mula mempersoalkan tahap kebersihan serta keselesaan pesakit yang sedang dirawat di situ.
Yalah, hospital sepatutnya menjadi tempat yang paling steril dan bersih, kan?
Menyedari rungutan dan kebimbangan orang ramai, pihak pengurusan HTAR tidak menunggu lama untuk tampil memberikan penjelasan.

Menurut mereka, kehadiran burung-burung tersebut sebenarnya berpunca daripada habitat asal haiwan berkenaan yang gemar bersarang di pokok-pokok besar sekitar kawasan hospital.
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan burung memasuki kawasan bangunan hospital secara tidak sengaja," jelas pihak HTAR dalam satu kenyataan rasmi.
Bagi mengembalikan keselesaan para pesakit, HTAR mengesahkan bahawa tindakan drastik dan berkala sudah pun diambil.
Antaranya termasuklah mengarahkan syarikat konsesi memangkas dahan-dahan pokok yang menjadi tempat tinggal burung merpati dan gagak, selain memperketatkan pemantauan di setiap ruang wad.
Malah, pihak hospital turut meminta bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani gangguan ini.
Pihak hospital turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan keselesaan semua pihak sama ada pesakit, pelawat, mahupun kakitangan perubatan, tetap menjadi keutamaan mereka.
Sumber: Berita harian & Threads




![Tular Burung Merpati Masuk Berkeliaran Dalam Wad, Ini Penjelasan HTAR [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/burung-merpati-di-wad-HTAR-800x467.jpg?t=1780929860)

