
“SETIAP keberanian dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Adakah kita semakin leka menikmati nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi lebih enam dekad? Persoalan ini wajar direnungi kerana ketika kita berada dalam zon selesa, pelbagai ancaman luar terus bergerak secara halus dan tersusun, termasuk melalui pendekatan neo-kolonialisme yang semakin sukar dikesan.
Antara perkara yang perlu dilihat rakyat Malaysia adalah tindakan beberapa wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bulan lalu menggesa semakan hubungan dua hala dengan Malaysia.
Surat ini dihantar susulan pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin serta tindakan yang dikenakan terhadap pemegang pasport Israel yang masuk secara muslihat ke Malaysia.
Meskipun Anwar menegaskan semula pendirian mengenai Palestin serta dasar Israel sudah wujud sekian lama, namun tindakan penghantaran surat sebegini memperlihatkan campur tangan negara luar mampu menekan dasar diplomatik negara.
Penghantaran surat itu berpunca daripada penutupan dan pembatalan lesen Network School di Forest City, Johor. Hal ini perlu dilihat menerusi kanta yang lebih besar daripada sekadar isu pendaftaran perniagaan atau ketidakpatuhan syarat premis.
Di sebalik keghairahan kita mengejar pelaburan asing dan meletakkan Malaysia di peta teknologi global, peristiwa ini memberi peringatan keras yang kedaulatan sesebuah negara sentiasa bermula dan bergantung kepada keupayaan kita mengawal serta mempertahankan sempadan tanah air.
Apabila sebuah entiti antarabangsa beroperasi di dalam wilayah kita dengan membawa gagasan pembentukan suatu komuniti autonomi yang mempunyai identiti dan sistem sosial tersendiri, secara tidak langsung tiang kedaulatan negara dicabar.
Hal sebegini lebih membimbangkan lagi kerana teknologi bergerak tanpa sempadan dan ekonomi digital beroperasi secara merentasi benua. Natijahnya, undang-undang serta kedaulatan fizikal Malaysia boleh tercabar atau dihakis oleh ideologi luar.
Keselamatan sempadan tidak hanya merujuk kepada kubu pertahanan fizikal di garisan pantai atau pos kawalan imigresen semata-mata tetapi juga merangkumi kawalan Imigresen yang ketat terhadap kemasukan modal pelaburan dan warga asing.
Penggunaan pasport negara kedua, status Pas Lawatan Sosial yang diselewengkan untuk tujuan perniagaan, serta ketidakupayaan pengurusan mendaftar kedudukan penghuni secara telus adalah kelompangan yang mengancam keselamatan negara.
Kita mengalu-alukan pelabur dan bakat teknologi untuk bersama-sama membangunkan ekonomi tempatan. Pun begitu, keterbukaan ini tidak boleh dijadikan galang ganti kepada pematuhan undang-undang.
Kerana itulah, seluruh rakyat Malaysia mengalu-alukan keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Kerajaan Negeri Johor untuk menghentikan operasi entiti Network School bagi menghantar mesej yang amat tegas agar tiada pelabur atau entiti asing yang merasa mereka berkedudukan lebih tinggi daripada undang-undang Malaysia.
Dalam masa sama, kebanyakan jenayah yang didalangi warga asing tidak menjadi tular hingga menjemput tindakan pantas pihak berkuasa. Kadang kala sindiket jenayah berlarutan sehingga bertahun lama dan dalang warga asing berjaya mengaut keuntungan besar daripada operasi mereka di Malaysia.
Kerana itu, sindiket membawa masuk pekerja asing dan dalang sindiket penipuan yang beroperasi dengan biadab dalam negara amat membimbangkan.
Misalnya, minggu lalu polis berjaya menahan 40 warga asing dari timur Asia dan Asia Selatan yang terbabit dalam sindiket penipuan jual beli barangan dalam talian, pelaburan tidak wujud dan penipuan ‘love scam’ di sekitar daerah Kajang dan Serdang.
Onar yang warga asing lakukan di Malaysia sudah tentu membawa bahana kepada rakyat negara ini.
Tidak juga dilupakan, jika kawalan sempadan negara dilihat lemah, rakyat Malaysia turut menggunakan kelonggaran ini untuk menjalankan jenayah antara sempadan. Sempadan yang bolos menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan barangan berduti, dadah, senjata api, serta pemerdagangan manusia.
Apabila bahan terlarang ini mudah melepasi pintu keluar, imej dan kredibiliti negara menjadi taruhan.
Bulan lalu, polis Vietnam menahan 65 individu, termasuk empat rakyat Malaysia kerana disyaki mengendalikan rangkaian pengedaran dadah yang mencampurkan ubat bius etomidate ke dalam cecair rokok elektronik sebelum menjual produk itu kepada pelanggan di Vietnam.
Minggu ini, kita digemparkan dengan berita penahanan dua keldai dadah warga Malaysia di Indonesia termasuklah seorang juruterbang.

ATASI KELEMAHAN
Kes-kes ini menyerlahkan kelemahan sistem kawalan dan pemeriksaan di pintu keluar negara. Modus operandi seperti menyembunyikan bahan terlarang pada badan mahupun mengeksploitasi laluan penerbangan komersial mencerminkan betapa sindiket antarabangsa mudah membolosi benteng keselamatan keluar dan masuk negara kita.
Negara berdaulat adalah negara yang tegas menjaga pintu masuknya, mengawal apa yang berlaku di dalam perbatasannya serta memastikan setiap entiti bertapak di buminya tunduk kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Prinsip ini bukanlah perkara untuk dirunding tawar oleh ahli politik, pelabur dan migran luar yang masuk ke dalam negara. Sebaliknya, kedaulatan negara harus kekal bermula di sempadan kita. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.
The post Kedaulatan bukan untuk dirunding appeared first on Utusan Malaysia.




