Kedaulatan tenaga teras strategi baharu TNB

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedaulatan tenaga teras strategi baharu TNB Image from: Kedaulatan tenaga teras strategi baharu TNB hamden03/08/2026 - 18:10 Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Shahrir Abdul Latif menyampaikan pembentangan di Sidang Kemuncak ESG Asia 2026 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat komited terhadap kedaulatan tenaga dengan memperkukuh daya tahan, melindungi keselamatan tenaga dan mempercepat pertumbuhan mampan.

 

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Shahrir Abdul Latif berkata kedaulatan tenaga tidak lagi ditentukan oleh kecukupan memenuhi keperluan sendiri, di sebaliknya oleh keupayaan untuk membina sistem tenaga yang berdaya tahan, boleh suai dan sedia masa depan.

 

"Kedaulatan tenaga, yang bermakna mempunyai kawalan langsung terhadap sumber tenaga negara, sedang membentuk fasa peralihan tenaga seterusnya," katanya semasa pembentangan di Sidang Kemuncak ESG Asia 2026 baru-baru ini.

 

Susulan dilema tenaga yang melibatkan keselamatan, kemampuan dan kemampanan, justeru, tanggungjawab yang saling berkaitan itu mesti menjadi panduan bagi setiap pelaburan, dasar dan keputusan teknologi untuk memastikan masa depan tenaga yang berdaya tahan dan boleh dipercayai, katanya.

 

Beliau berkata dalam menyokong visi tersebut, TNB, yang memacu usaha tenaga mampan Malaysia, terus membolehkan peralihan yang bertanggungjawab ke arah masa depan rendah karbon melalui keutamaan strategik yang jelas.

 

Ke Arah Tenaga Lestari

Ini termasuk kemajuan untuk merealisasikan Sifar Bersih 2050, menamatkan pelaburan dalam loji jana kuasa arang batu baharu dan mentransformasikan aset paling banyak melepaskan karbon kepada penyelesaian tenaga yang lebih lestari.

 

Usaha itu meliputi langkah memajukan teknologi rendah karbon seperti biojisim, ammonia, pembakaran bersama hidrogen serta pemerangkapan karbon.

 

Shahrir berkata melangkaui teknologi, peralihan tenaga akhirnya akan digerakkan oleh keberkesanan operasi, tadbir urus yang baik, pelaburan berdisiplin dan pihak yang bekemahiran.

 

“Keelektrikan yang boleh dipercayai bukan sahaja bergantung kepada infrastruktur, malah juga kepakaran dan dedikasi pihak yang mereka bentuk, mengendalikan dan menyelenggara sistem tenaga negara setiap hari,” katanya.

 

Beliau berkata menyedari kedaulatan tenaga diperkukuh melalui kerjasama, TNB terus menyokong Grid Tenaga ASEAN (APG) sebagai laluan strategik untuk kesalinghubungan serantau yang lebih meluas, peningkatan keselamatan tenaga dan pencepatan integrasi tenaga bersih di seluruh ASEAN.

 

Seiring dengan landskap tenaga yang terus berkembang, TNB kekal komited memajukan peralihan tenaga yang praktikal, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

 

"Melalui kerjasama yang dipercayai, pelaburan yang bertanggungjawab dan kerjasama serantau lebih kukuh, TNB akan terus membantu membina masa depan tenaga yang lebih selamat, saling berkaitan dan mampan, katanya. - BERNAMA 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved