Kontrak lampu jalan pintar DBKL berpotensi jana RM20 juta hasil tahunan ITMAX, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak lampu jalan pintar DBKL berpotensi jana RM20 juta hasil tahunan ITMAX, kata HLIB Image from: Kontrak lampu jalan pintar DBKL berpotensi jana RM20 juta hasil tahunan ITMAX, kata HLIB hamden03/08/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kontrak baharu ITMAX System Bhd daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi sistem lampu jalan pintar dijangka menyumbang kira-kira RM20 juta hasil tahunan kepada syarikat itu, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak bernilai RM120 juta tersebut meningkatkan buku tempahan belum dibilkan bagi segmen berkenaan kepada RM172 juta, manakala keseluruhan buku pesanan belum dibilkan ITMAX dianggarkan mencecah paras tertinggi RM2.3 bilion.


"Dengan andaian nilai kontrak RM120 juta diiktiraf secara sama rata dalam tempoh enam tahun, ia berpotensi menjana RM20 juta hasil tahunan, sekali gus mengekalkan kadar hasil segmen ini pada sekitar RM40 juta setahun," katanya dalam nota penyelidikan.

 

ITMAX sebelum ini menerima surat penerimaan (letter of acceptance) daripada DBKL bagi pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan sistem lampu jalan pintar bernilai RM120 juta.

 

Kontrak selama enam tahun itu akan bermula selepas DBKL mengeluarkan surat arahan kerja.

 

Kontrak ini menggantikan kontrak terdahulu yang diperoleh pada 2016, sebelum dilanjutkan pada 2021 dan 2023 serta tamat tempoh pada 31 Julai 2026.

 

Kontrak CCTV dan Parkir

HLIB berkata, prestasi pendapatan ITMAX bagi tahun ini banyak disokong oleh pelaksanaan kamera litar tertutup (CCTV) DBKL selain peningkatan dalam segmen parkir pintar.

 

Bagaimanapun, perhatian pelabur dijangka beralih kepada kemenangan kontrak baharu yang bakal membentuk pertumbuhan pendapatan syarikat mulai 2027 dan seterusnya.

 

"Kami menjangkakan kawasan Greater Johor akan menambah beberapa ribu unit CCTV selepas pemasangan awal sebanyak 1,500 unit di kawasan tersebut.

 

"Syarikat juga telah memulakan perbincangan dengan DBKL bagi fasa seterusnya pemasangan CCTV apabila bandar raya itu bergerak ke arah sasaran 20,000 unit menjelang 2028," katanya.

 

Peluang Kontrak di Kota Kinabalu

Selain itu, HLIB memaklumkan Kota Kinabalu turut membuka tender bagi pemasangan CCTV, yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan baharu kepada ITMAX.

 

Dalam masa sama, firma penyelidikan itu melihat teknologi kembar digital (digital twins) sebagai saluran pertumbuhan baharu dengan potensi pengembangan yang besar.

 

Menurut HLIB, pertumbuhan segmen tersebut boleh dipacu melalui peluasan liputan geografi serta penambahan fungsi secara modular termasuk penyelesaian Samurai AI.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham ITMAX dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved