Kediaman mewah jadi pusat 'scammer', 20 warga asing ditahan

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 9:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kediaman mewah jadi pusat 'scammer', 20 warga asing ditahan

SHAH ALAM, 28 OGOS: Jabatan Imigresen menyerbu kediaman mewah di Pudu yang disyaki menjadi pusat penipuan pelaburan dalam talian dan menahan 20 warga asing, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas di sekitar Jalan San Peng pada jam 11.45 malam selepas risikan selama dua minggu.

"Seramai 20 warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan, terdiri daripada lima lelaki Taiwan, empat lelaki China, empat lelaki India serta empat lelaki dan dua wanita Thailand. Seorang lagi yang ditahan ialah wanita warga India.

“Sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah untuk dijadikan pusat operasi penipuan pelaburan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai dikendalikan beberapa kumpulan warga China, Taiwan, Thailand dan India yang menyasar mangsa mengikut negara tertentu.

"Setiap kumpulan dipercayai menyasarkan mangsa berbeza di beberapa negara, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun.

"Siasatan juga mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan," katanya.

Beliau berkata, sindiket dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dengan waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, pemeriksaan turut menemukan skrip penipuan dalam bahasa Thailand, selain pelbagai peralatan komunikasi dan komputer.

"Antara barangan yang disita ialah 45 telefon bimbit, lapan set komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet dan empat alat komunikasi walkie-talkie.

"Pasukan operasi turut menyita 11 pasport warga asing, kad akses, wang tunai RM5,370 serta beberapa mata wang asing," katanya.

Zakaria berkata, mata wang asing yang disita ialah 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.

Katanya, pelbagai jenis ubat yang dipercayai berasal dari luar negara turut ditemukan di sebuah unit kediaman yang diperiksa.

Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata, Imigresen akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved