
KUALA LUMPUR: Kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini, lengang tanpa sebarang pergerakan keluar masuk dikesan setakat pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia setakat pukul 10.40 pagi ini mendapati tiada anggota polis atau pihak berkuasa dilihat mengawal kawasan sekitar kediaman bekas Perdana Menteri itu, manakala keadaan kekal tenang.
Kehadiran petugas media juga tidak begitu ramai dengan beberapa wakil media mula berada di kawasan berkenaan seawal pukul 9 pagi bagi mengikuti sebarang perkembangan terbaharu.
Selain itu, tiada sebarang kelibat pengunjung awam atau penyokong Najib kelihatan berada di sekitar kawasan kediaman berkenaan setakat waktu tinjauan dilakukan.
Awal pagi tadi akhbar ini melaporkan, Peguam Negara hari ini memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, perkara itu bertujuan untuk memohon ampun dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd
Jumaat lalu, media melaporkan Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International Sdn. Bhd. di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada hari sama, pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilaporkan hadir ke mahkamah kira-kira pukul 11.30 pagi bagi menguruskan pembayaran dan melengkapkan prosedur pentadbiran sebelum bayaran itu dimuktamadkan.
Pembayaran berkenaan merupakan antara syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Manakala, kediaman Najib di No. 11, Jalan Langgak Duta turut diisytiharkan sebagai penjara bagi tujuan penahanan di rumah mengikut Akta Penjara 1995.
Bagaimanapun pada petang berikutnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan.
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan iaitu pada hari sama, beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Najib kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022. Permohonan itu dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.
Pada 2 Februari 2024, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN
The post Kediaman Najib di Langgak Duta lengang, tiada pergerakan dikesan pagi ini appeared first on Utusan Malaysia.






