KUALA LUMPUR - Perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini mula menjadi tumpuan apabila beberapa kenderaan dilihat memasuki laluan ke kediaman berkenaan.
Suasana di luar kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyaksikan lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul serta berkawal seawal jam 10 pagi tadi bagi memantau perkembangan terbaharu.
Bagaimanapun, sehingga kini status kepulangan Najib ke kediaman berkenaan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang menanti di lokasi untuk mendapatkan pengesahan rasmi.
Pada masa sama, sekumpulan penyokong Najib turut kelihatan berkumpul di luar kediaman berkenaan.
**media[3651683]**
Tumpuan media dan penyokong itu susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.
Menerusi keputusan berkenaan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta, selain perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh menjalani tahanan di rumah.
BHEUU, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau hendaklah serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
**media[3651682]**
Keputusan terbaharu itu menyusul selepas permohonan pengampunan yang dikemukakan Najib sebelum ini ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.






