Kedudukan Tuanku Muhriz kekal – DKU Negeri Sembilan

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 3:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kedudukan Tuanku Muhriz kekal – DKU Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kedudukan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu ditetapkan selepas Dewan berkenaan mengadakan sidang khas, semalam.

Menurutnya, tiada proses yang sah pernah menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti memegang jawatan itu dan baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan.

“Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut. Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya.

Dewan turut menetapkan kerajaan negeri dan setiap pegawai negeri terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

“Tiada pegawai kerajaan dikehendaki bertindak atas apa-apa arahan yang berasaskan dokumen tersebut.

“Kerajaan negeri dan setiap pegawai negeri hendaklah terus mengiktiraf Duli Yang Maha Mulia sebagai Yang di-Pertuan Besar dan berurusan dengan Baginda sedemikian.” katanya.

Dewan turut menegaskan semula ketetapannya pada 31 Julai lalu bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana tiga daripada penandatangan tidak memegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing.

Katanya, perkara berkenaan turut bercanggah dengan Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang menetapkan siasatan penuh dan lengkap perlu dilaksanakan sebelum Undang boleh menyeru Yang di-Pertuan Besar berundur atau melepaskan jawatan.

“Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar setelah siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan. Syarat itu adalah mandatori.

“Tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar. Proklamasi 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal,” katanya.

Selain itu, proklamasi tersebut telah luput serta terbatal selepas Menteri Besar ketika itu enggan menandatanganinya pada 20 April 2026 lalu.

“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara X(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal.”

Jelasnya, tindakan Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi sama tidak memulihkan kecacatan tersebut.

“Tiada sebarang siasatan diadakan dalam tuntutan memenuhi Perkara X UUTKNS 1959. Satu-satunya perkara yang didakwa berlaku ialah seorang Menteri Besar yang baharu menandatangani proklamasi yang sama.

“Perbuatan itu tidak memulihkan apa-apa. Seorang Menteri Besar yang baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang telah pun dilaksanakan. Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” katanya.

Dewan juga membuat ketetapan membuat laporan polis berhubung tindakan enam individu yang menandatangani Surat Cara Proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 5 September lalu.

Menurutnya, tindakan enam individu berkenaan boleh dianggap sebagai derhaka di sisi adat dan undang-undang.

Menurutnya, empat daripada individu berkenaan didakwa tidak memegang jawatan atas nama mereka telah menandatangani dokumen terbabit.

“Tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September 2026 dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang.

“Ini kerana empat daripada mereka tidak memegang jawatan berkenaan, menandatangani surat cara penurunan Yang di-Pertuan Besar tanpa siasatan menurut Perkara X(1) UUTKNS 1959, menyalahgunakan gelaran jawatan dan mengeluarkan arahan tidak sah kepada pegawai kerajaan,” katanya.

Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perbuatan enam individu tersebut.

Sementara itu, Dewan akan mendapatkan klarifikasi rasmi daripada kerajaan negeri berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa pendamai khususnya berkaitan bidang kuasa membabitkan soal adat.

Semua pihak juga diingatkan supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas mengenai institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang.

“Institusi adat Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti atau individu. Ia amanah yang dipegang untuk semua anak buah dan waris,” katanya. – UTUSAN

The post Kedudukan Tuanku Muhriz kekal – DKU Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved