
SEREMBAN - Tiada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dikemukakan menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung bulan depan.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said, berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis atau cadangan daripada mana-mana pihak berhubung usul berkenaan.
Beliau berkata dakwaan mengenai kewujudan usul itu yang tular di media sosial adalah tidak benar.
“Jadi, saya menafikan bahawa terdapat cadangan sedemikian. Pada pandangan saya, perkara yang hendak dibawa ke DUN perlu diputuskan kerajaan.
"Selagi kerajaan belum memutuskan sebarang tindakan yang perlu diambil, saya di peringkat DUN akan terus menjunjung keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Program Komuniti Negeri Sembilan (MANES) dan penyampaian bantuan kebajikan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Program berkenaan dilancarkan Ismail.
Dakwaan mengenai usul undi tidak percaya itu timbul susulan ketegangan terbaharu membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat, selepas Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani Instrumen Proklamasi yang memohon penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 3 Ogos lalu.
Persidangan DUN Negeri Sembilan seterusnya dijadual berlangsung selama lima hari, dengan Tuanku Muhriz dijadual merasmikan pembukaannya pada 16 Oktober ini.
Ismail sebelum ini membuat laporan polis berhubung dokumen yang dipertikaikan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Sementara itu, Ismail enggan mengulas mengenai pertemuannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga naib presiden parti itu pada Khamis lalu.
Pertemuan berkenaan susulan kenyataan Zahid bahawa beliau mahu mendapatkan penjelasan daripada Ismail berhubung dakwaan terbabit.
Ditanya mengenai hasil pertemuan itu, Ismail hanya berkata: “Haih… saya tergesa-gesa sekarang,” sebelum beredar menaiki kenderaan rasmi.
Pertemuan berkenaan dilaporkan berlangsung kira-kira jam 4 petang di sebuah bilik khas ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Laporan media sebelum ini menyebut Undang Yang Empat mendedahkan surat yang ditandatangani Ismail yang didakwa mengesahkan satu proklamasi bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz. - Getaran, 14 September 2026






