amree23/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Empire Premium Food Berhad mencatat hasil RM297.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), meningkat 26.1% tahun ke tahun (YoY), disokong pertambahan kedai dan diiktiraf sebagai rangkaian susyi halal ‘grab-and-go’ terbesar Malaysia.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) keduanya di Kuala Lumpur sehubungan dengan prestasi itu meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.65 sen sesaham bagi FY26, yang akan dibayar pada 9 Oktober 2026.
Mesyuarat berkenaan turut menjadi yang pertama bagi kumpulan berkenaan sejak mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 April 2026, dengan semua resolusi yang dibentangkan mendapat kelulusan daripada majoriti pemegang saham syarikat.
"Empire Premium merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti diselaraskan (PATAMI) sebanyak RM48.7 juta bagi FY26, manakala jumlah kedai meningkat kepada 143 pada akhir tahun kewangan berbanding 122 outlet setahun sebelum itu," katanya.
Pengembangan itu jelasnya, kemudian diteruskan lagi apabila rangkaian kedai mencapai jumlah 151 outlet setakat 30 Jun 2026, terdiri daripada 133 outlet konsep ‘grab-and-go’ dan 18 outlet ‘quick dine-in’ di seluruh Malaysia.
Justeru, pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai rangkaian susyi halal ‘Grab-and-Go’ terbesar Malaysia pula mencerminkan skala rangkaian outlet kumpulan serta usaha berterusan menawarkan produk susyi premium kepada pengguna di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium Food Bhd, Nicole Lim berkata, pencapaian itu mencerminkan kemajuan kumpulan dalam memperluas kehadiran di Malaysia selain berjaya melengkapkan proses penyenaraian di Pasaran Utama.
"Pengiktirafan tersebut turut menjadi pencapaian penting bagi jenama tempatan ini dalam membina perniagaan dan meningkatkan akses pelanggan terutama yang beragama Islam kepada produk susyi diperakui sebagai halal," jelas beliau.
Memasuki FY27, Nicole berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peluasan rangkaian outlet dan penambahbaikan operasi, di samping berusaha mewujudkan nilai yang mampan kepada pemegang saham.
Selain pengembangan rangkaian outlet, kumpulan juga sedang membangunkan beberapa produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) yang berpotensi memperkenalkan tawaran baharu kepada pelanggan serta membuka peluang pertumbuhan tambahan.
Ujarnya, Empire Premium akan meneruskan strategi pertumbuhan secara berhati-hati dan mampan, dengan memanfaatkan pengembangan rangkaian outlet serta pembangunan produk baharu bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dalam FY27. - DagangNews.com






