
KUALA LUMPUR – Kegiatan tidak bermoral membabitkan pekerja seks warga asing sejak dua bulan lalu terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu dua lokasi di Jalan Kuchai Lama dan sekitar Jalan Gelugor, di sini, kelmarin.
Operasi khas bermula jam 10.50 malam itu hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu membabitkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 26 individu berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, termasuk pasangan warga asing dipercayai dalang utama dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis.
“Pasangan itu terdiri daripada lelaki warga Bangladesh dan wanita Thailand, manakala turut ditahan tiga lelaki Myanmar, tiga wanita Bangladesh, 14 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Myanmar.
“Semakan awal mendapati semua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menyita empat pasport Bangladesh, satu pasport Thailand dan satu pasport Indonesia selain telefon bimbit, kondom serta wang tunai RM1,215 yang disyaki hasil kegiatan berkenaan.
Siasatan mendapati premis kediaman dan perniagaan terbabit dijadikan lokasi kegiatan tidak bermoral dengan wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pekerja seks.
Premis kediaman itu dikatakan dipromosikan kepada pelanggan, terutama warga Bangladesh di Lembah Klang menerusi media sosial, manakala kegiatan dilakukan secara tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Dalang utama dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport mereka, manakala premis perniagaan pula dipercayai dikawal seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘kapten’.
“Kadar bayaran di premis kediaman ialah RM200 untuk 60 minit, manakala premis perniagaan mengenakan bayaran antara RM260 hingga RM400 bagi tempoh 90 minit,” katanya.
Pasangan warga asing dan lelaki tempatan terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama. – KOSMO! ONLINE
The post Kegiatan tidak bermoral warga asing diserbu appeared first on Kosmo Digital.






