
KOTA TINGGI: Seramai 78 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi di beberapa premis sekitar Pengerang, di sini kelmarin.
Operasi kira-kira pukul 11 pagi itu membabitkan tahanan berusia antara 20 hingga 50 tahun yang terdiri daripada 71 lelaki dan tujuh wanita.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, warganegara asing yang ditahan merangkumi 30 lelaki dan enam wanita Indonesia, 24 lelaki Pakistan, 10 lelaki Bangladesh, serta enam lelaki dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi merupakan lelaki warga India.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pemeriksaan secara menyeluruh mendapati terdapat individu yang melakukan kesalahan seperti menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Rusdi memberitahu, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu menyasar premis yang dipercayai menggaji atau menempatkan warga asing tanpa mengikut syarat ditetapkan.
Tambah beliau, sebanyak lapan keping Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan sepanjang penguatkuasaan berkenaan, manakala kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Setia Tropika bagi tindakan lanjut.-UTUSAN
The post JIM Johor tahan 78 warga asing di Pengerang appeared first on Utusan Malaysia.






