
TANJUNG MALIM – Tragedi menyayat hati yang meragut lima insan tersayang tidak menghalang seorang pelajar wanita baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambung pengajian demi bergelar seorang pendidik.
Menurut Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi, 19, langkahnya ke menara gading membawa coretan duka selepas kehilangan ibu, bapa, dan tiga adik perempuannya dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang pada Februari lalu.
“Langkah saya ke UPSI bukan sahaja permulaan fasa baharu kehidupan malah menjadi simbol ketabahan kepada adik saya juga demi masa depan kami berdua.
“Kehilangan lima ahli keluarga tercinta bukanlah noktah kehidupan tetapi terus melangkah demi menggenggam segulung ijazah dan berkhidmat dalam bidang pendidikan,” katanya di UPSi Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Kebakaran rumah mereka yang berlaku pada 26 Februari itu meragut nyawa bapanya, Allahyarham Mohd. Alawi Muhammad, ibunya, Allahyarham Zaleha Adam @ Ibrahim.
Selain itu, tiga adiknya iaitu Allahyarham Ruby Adira Batrisya, Allahyarham Ruby Adlina Banin dan Allahyarham Ruby Azyan Barizah.
Ketika kejadian tersebut , Ruby Adalia dan adiknya, Ahmad Balia Murqam Mohd. Alawi tiada di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Kehilangan lima insan tersayang tidak halang Ruby belajar di UPSI appeared first on Kosmo Online.



