
ALOR SETAR – Kehidupan tidak pernah menjanjikan kebahagiaan yang kekal. Setiap insan pasti akan diuji, dan antara ujian paling berat adalah kehilangan orang tersayang.
Hakikatnya, tiada yang abadi di dunia ini. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Pencipta, meninggalkan kenangan serta duka buat mereka yang masih meneruskan kehidupan.
Baru-baru ini, tular kisah pemergian seorang lelaki, Allahyarham Mohammad Syukri Bazli yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Namun di sebalik kehilangan yang menyayat hati itu, terserlah satu keikhlasan luar biasa apabila keluarganya mengambil keputusan membenarkan pendermaan organ Allahyarham demi memberi harapan baharu kepada insan lain yang memerlukan.
KKM Hargai Keikhlasan Keluarga
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keputusan murni tersebut.
Menurut KKM, sumbangan organ dan tisu itu bukan sahaja memberi sinar harapan, malah membuka peluang kehidupan baharu kepada pesakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Tindakan ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pesakit, malah menjadi contoh teladan yang tinggi nilainya kepada masyarakat dalam menyemai kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, KKM turut mendoakan agar Allahyarham dikurniakan ganjaran pahala berpanjangan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman atas amal kebaikan yang dilakukan.
Penghormatan Terakhir Buat ‘Wira Tanpa Nama’
Sementara itu, tular satu video di platform TikTok memaparkan petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham disifatkan sebagai ‘wira tanpa nama’ kerana tindakannya itu berjaya menyelamatkan tiga nyawa melalui pendermaan organ.
Menerusi kapsyen video tersebut, dinyatakan bahawa walaupun Allahyarham telah pergi buat selamanya, keikhlasan keluarganya telah membuka ruang kehidupan baharu kepada tiga pesakit yang memerlukan.
“Wira tanpa nama, selamatkan tiga nyawa. Terima kasih orang baik,” menurut kapsyen berkenaan.
Ucapan Takziah Dan Doa Warganet
Perkongsian itu turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada warganet yang tersentuh dengan kisah tersebut, selain menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang memberi manfaat besar kepada orang lain walaupun selepas pemergiannya.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk, “Manusia yang Allah sayang adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Walaupun sudah tiada di dunia, kebaikannya tetap berjalan. Semoga syurga buat manusia baik,” selain, “Terima kasih orang yang sangat baik, semoga Jannah tempatmu.”
Kisah ini sekali lagi mengingatkan bahawa di sebalik sebuah kehilangan, masih mampu hadir sinar harapan, hasil keikhlasan dan kasih sayang yang tidak ternilai. – The Malaysian Update
The post Kehilangan Tiada Ganti, Namun Hadir Sinar Harapan Buat Insan Lain appeared first on The Malaysian Update.




