PUTRAJAYA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat mengetepikan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh bayi asuhan isterinya, berusia sembilan bulan yang turut diliwatnya, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati kecederaan parah pada dubur dan bibir bayi lelaki itu, menggambarkan kekejaman luar biasa yang dilakukan Mohamed Badruldin Mohamed, 41, sebelum mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Azman yang bersidang bersama Hakim, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid turut mendapati, laporan bedah siasat dan bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan sperma Mohamed Badruldin selaku responden ada pada dubur serta rektum bayi malang itu.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hayatul Akmal berkata, perbuatan tertuduh sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Katanya, hukuman penjara 30 tahun yang dikenakan pada 21 November 2025 tidak memadai, dengan mengambil kira kekejaman melampau terhadap mangsa yang langsung tidak berdaya.
Beliau berkata, kecederaan parah pada bahagian dubur dan bibir mangsa membuktikan kejadian liwat sebelum meninggal dunia akibat lemas.
"Kecederaan teruk ini menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang terpaksa ditanggung seorang bayi tidak berdosa.
“Perbuatan responden bukan sahaja menunjukkan keganasan melampau, malah memperlihatkan pengabaian secara terang-terangan serta pengkhianatan terhadap amanah keluarga," katanya.
Beliau berkata, mangsa diliwat oleh responden iaitu individu yang diberi kepercayaan untuk memastikan keselamatannya.
Sehubungan itu, Hakim berpandangan, hukuman mati merupakan hukuman terakhir yang setimpal bagi jenayah berkenaan.
"Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada responden sendiri serta orang awam bahawa jenayah seperti ini amat dibenci dan hukuman terakhir yang setimpal ialah hukuman mati," katanya.
Dalam pada itu, Hayatul Akmal turut menegur pendekatan Hakim Mahkamah Tinggi yang didapati terlalu menitikberatkan faktor mitigasi responden, termasuk hasrat untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi bapa lebih baik kepada tiga anaknya.
Walaupun Hakim Mahkamah Tinggi mengambil kepentingan awam, beliau berkata, keperluan melindungi kanak-kanak dan pernyataan impak mangsa, perlu dicerminkan dalam hukuman yang dijatuhkan.
Panel turut bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa alasan berkenaan hanya bersifat janji kosong kerana hukuman minimum masih dikenakan.
Menurutnya, berdasarkan duluan kes Mahkamah Persekutuan selepas pemansuhan hukuman mati mandatori, kes itu memenuhi ambang luar biasa yang mewajarkan mahkamah mengenakan hukuman mati dan bukannya mengekalkan hukuman penjara.
“Mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu, terhadap hukuman 30 penjara dan 12 sebatan bagi kes bunuh,” katanya.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak sementara responden diwakili peguam lantikan mahkamah, Datuk Mohtarudin Baki.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kau bukan manusia, kau binatang!’ - Ibu bayi diliwat, dibunuh suami pengasuh
'Saya gagal lindungi darah daging sendiri' - Ibu bayi diliwat suami pengasuh
Air mani di dubur bayi sembilan bulan - Suami pengasuh dijel 30 tahun, 13 sebatan
Suami pengasuh didakwa liwat, bunuh bayi sembilan bulan
Pada 24 November tahun lalu, Mohamed Badruldin dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.
Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021 menjadikan pemenjaraan ialah selama 30 tahun dan 13 sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di lokasi sama antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pada hari kejadian, pengasuh yang juga isteri tertuduh memberitahu ibu mangsa bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri.
Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.






