Kejar Ambulans Bawa Neneknya, Pemandu Bezza Langgar Lampu Isyarat Rempuh 4 Kenderaan

LocalCars
30 Sep 2025 • 10:17 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Kejar Ambulans Bawa Neneknya, Pemandu Bezza Langgar Lampu Isyarat Rempuh 4 Kenderaan

Hasrat seorang lelaki mengekori ambulans yang membawa neneknya ke hospital bertukar tragedi apabila kereta Perodua Bezza dipandunya melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kulim Hi Tech, semalam.

Kejar ambulans yang membawa nenek

image is not available

Foto: FB Nor Fazzlan

Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Perodua Bezza sedang kejar ambulans dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

Impak perlanggaran mengakibatkan Grand Livina tersebut terbalik lalu melanggar sebuah Proton Saga, Toyota Camry dan sebuah motosikal yang dinaiki dua pelajar kolej berusia 19 tahun di laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan awal mendapati pemandu Bezza itu mengaku dia sedang kejar ambulans swasta yang membawa neneknya untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Butterworth, Pulau Pinang.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah buku lali kanan manakala pemboncengnya cedera di kaki dan tangan. Pemandu Bezza pula mengalami sakit dada, manakala pemandu Grand Livina cedera di tangan dan kepala.

“Bagaimanapun, pemandu Proton Saga serta Toyota Camry tidak mengalami kecederaan,” katanya.

image is not available

Foto: FB Nor Fazzlan

Sementara itu, pemandu Proton Saga yang juga petugas kesihatan di Hospital Kulim memaklumkan keretanya rosak di bahagian hadapan akibat kejadian tersebut.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

image is not available

Foto: FB Nor Fazzlan

Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)