
BATU PAHAT - Seorang pekerja ladang berusia 42 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengugut dan mengejar isterinya menggunakan sebilah parang sepanjang 62 sentimeter (cm).
Suspek difahamkan bertindak demikian selepas mengesyaki wanita terbabit mempunyai hubungan sulit.
Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Sungai Kalong, Senggarang, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.
Siasatan awal mendapati, suspek didakwa mengambil sebilah parang sepanjang 62cm sebelum mengejar isterinya yang berusia 37 tahun sambil mengeluarkan ugutan sehingga menyebabkan wanita itu ketakutan.
Perbuatan tersebut turut disaksikan ibu mangsa dan anak pasangan berkenaan sebelum wanita itu membuat laporan polis.
Suspek ditahan polis semalam susulan laporan yang dibuat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - Getaran, 19 Oktober 2026






