
JELI – Seorang lelaki yang dipercayai melibas seorang anggota polis dengan sebilah parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan retak tangan kiri di Kampung Lalang Pepuyu dekat Tanah Merah, semalam direman empat hari.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh.
Media semalam melaporkan, seorang anggota polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan parah dilibas dengan sebilah parang ketika menjalankan Ops Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu.
Kejadian kira-kira pukul 1.35 tengah hari itu menyebabkan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan parah dan retak tulang tangan kiri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu bertindak melarikan diri ketika anggota polis menjalankan serbuan di sebuah rumah.
Katanya, suspek yang memegang sebilah parang bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota bertugas.
“Suspek bertindak melibas senjata itu ke arah polis sehingga mencederakan anggota sebelum ditahan.
“Polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil kuda seberat 0.1 gram dan sebotol cecair disyaki air ketum,” ujarnya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai enam rekod jenayah lampau berkait kes dadah. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki libas anggota polis dengan parang direman empat hari appeared first on Kosmo Online.






