Kejayaan Hakim Danish imbau detik dramatik Azizulhasni

22 Jun 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kejayaan Hakim Danish imbau detik dramatik Azizulhasni
Dua pelumba yang meletakkan Terengganu dan Malaysia di peta dunia.

KEMENANGAN Hakim Danish Ramli di Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno pada Ahad mengimbau detik penuh dramatik yang pernah dilakar jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila kedua-duanya menoktahkan perlumbaan dengan aksi pintasan saat akhir untuk meraih kemenangan.

Jika Hakim Danish menumbangkan pencabar pada pusingan terakhir perlumbaan Moto3 selepas bangkit dari petak ke-14 akibat penalti, Azizulhasni pula pernah mencipta detik gemilang apabila melakukan henjutan pada fasa akhir perlumbaan keirin untuk meraih gelaran juara dunia.

Lebih menarik, dalam kejayaan itu Azizulhasni yang mesra dengan panggilan Jijoe pernah berada dalam situasi terkepung oleh beberapa pelumba elit termasuk juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen sebelum melepaskan diri dengan ledakan pecutan luar biasa pada saat penentuan.

Situasi itu berlaku ketika Kejohanan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai pada April lalu yang menyaksikan keupayaan luar biasa The Pocket Rocketman membaca perlumbaan dan memilih masa tepat untuk melakukan serangan.

Walaupun berlainan disiplin sukan, kedua-dua atlet ini berkongsi persamaan dari segi keberanian, ketenangan dan ketepatan masa ketika melakukan serangan penentu di saat paling kritikal perlumbaan.

Lebih menarik, Hakim Danish dan Azizulhasni turut berkongsi satu lagi persamaan istimewa apabila kedua-duanya berasal dari Terengganu, negeri yang terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia.

Dalam aksi di Brno, Hakim Danish yang dikenakan penalti 12 petak grid tetap mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila kekal konsisten dalam kelompok hadapan sebelum memanfaatkan ruang pada pusingan terakhir untuk memintas Maximo Quiles dan Brian Uriarte bagi meraih kemenangan sulung di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.

Kejayaan itu bukan sahaja menamatkan penantian Malaysia untuk kembali meraih kemenangan di kelas Moto3 sejak 2016, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda paling menyerlah ketika ini.