![Image from: Moto3: Pengurus Pasukan Alihkan Botol Champagne Sebelum Hakim Danish Naik Podium Raih Pujian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Pengurus-Pasukan-Hakim-Danish-Alihkan-Botol-Champagne-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kejayaan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli muncul juara di Grand Prix (GP) Republik Czech selepas lebih satu dekad penantian ternyata mengujakan rakyat Malaysia.
Namun siapa sangka, bukan itu sahaja momen yang mencuri perhatian pada hari perlumbaan itu yang berlangsung pada Ahad (21 Jun).
Sebaliknya aksi pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell yang dengan pantas mengalihkan botol champagne yang diletakkan di posisi podium Hakim Danish sebelum majlis penyampaian trofi bermula turut mendapat perhatian rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.
Menerusi video yang tular di media sosial, Jordi yang tiba di pentas secara spontan bertindak mengalih dan menyembunyikan botol champagne tersebut sebaik menyedari keberadaan botol arak tersebut.
Lebih mencuri tumpuan apabila Gatell turut dilihat beredar bersama pelumba negara itu ketika sesi Champagne Shower berlangsung sebaik selesai sesi penyampaian trofi.
Tindakannya disifatkan orang ramai sebagai penuh keprihatinan dan menghormati pegangan agama pelumba muda dari Malaysia berkenaan.
Malah ramai memuji perbuatan Gatell meskipun beliau bukan seorang yang beragama Islam namun masih memahami sensitiviti terbabit meskipun penggunaan champagne di podium perlumbaan adalah sebahagian daripada tradisi sukan permotoran dunia.
View this post on Instagram
Penantian Lebih Sedekad Malaysia Berakhir, Hakim Danish Cipta Sejarah Juarai Moto3 Republik Czech
Terdahulu Hakim Danish Ramli mencipta kejutan luar biasa pada penampilan pertamanya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 apabila menjuarai Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Automotodrom Brno.
Kejayaan sensasi itu sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad Malaysia untuk kembali memastikan lagu Negaraku kembali bergema di pentas MotoGP, sekali gus mengulangi pencapaian bersejarah yang pernah dilakar bekas pelumba Moto3, Khairul Idham Pawi di Sachsenring, Jerman pada 2016.
View this post on Instagram
Lebih manis, kemenangan tersebut hadir selepas Hakim Danish mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang hujung minggu perlumbaan apabila memecahkan rekod terpantas sepanjang zaman Litar Brno sebanyak dua kali.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 2 minit 04.938 saat pada sesi latihan bebas pertama (FP1) sebelum memperbaharui rekod tersebut kepada 2:04.754 saat pada sesi latihan.
Bagaimanapun, laluan menuju kemenangan bukanlah mudah apabila Hakim Danish dikenakan penalti 12 petak grid selepas sesi kelayakan kedua (Q2) kerana dikesan menunggang perlahan di beberapa sektor litar.
Hukuman itu menyaksikannya diturunkan daripada petak kedua ke petak ke-14 bagi perlumbaan utama, namun Hakim Danish tidak mengalah dan bersedia untuk bangkit sebaik lampu hijau dipadamkan pada perlumbaan hari ini.
“Ini adalah kemenangan yang sangat istimewa buat saya, pasukan serta seluruh penyokong Malaysia. Hujung minggu ini bukan mudah kerana kami berdepan pelbagai cabaran, namun saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kerja keras yang dilakukan bersama pasukan.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3. Perasaan saya ketika ini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya sangat gembira dan bangga dapat menghadiahkan keputusan ini kepada semua yang sentiasa menyokong saya.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja, pasukan, keluarga dan para penyokong yang sentiasa berada di belakang saya. Sokongan anda semua memberi motivasi besar untuk saya terus berjuang dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Hakim Danish.
Bermula dari petak ke-14, pelumba kelahiran Terengganu itu memperagakan tunggangan matang dan agresif apabila berjaya menembusi kelompok hadapan dengan pantas sebelum berada dalam kedudukan lima terbaik seawal pusingan keempat perlumbaan.
Walaupun sempat tercicir ke kedudukan ketujuh pada pusingan kelima, Hakim Danish kembali bangkit dan mula memberi tekanan dalam kelompok hadapan. Hakim Danish berjaya memintas beberapa pencabar termasuk pelumba Indonesia, Veda Pratama (Honda Team Asia) dan David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) sebelum memasuki kelompok tiga terbaik.
Persaingan semakin sengit pada separuh kedua perlumbaan apabila Hakim Danish beberapa kali bertukar kedudukan dengan Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) dan David Almansa, selain turut berada di tempat kedua pada beberapa ketika ketika memburu Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) yang mendahului perlumbaan. Memasuki pusingan-pusingan terakhir, Hakim Danish kekal tenang dan konsisten dalam kelompok pendahulu sambil mengekalkan tekanan ke atas pelumba di hadapannya.
Segala-galanya ditentukan pada pusingan terakhir apabila pertarungan sengit antara Quiles dan Uriarte membuka ruang kecil di hadapan. Hakim Danish yang sentiasa berada dalam jarak serangan pantas merebut peluang tersebut dengan melakukan pecutan tepat pada masanya untuk memintas kedua-dua pelumba berkenaan. Tindakan berani dan keputusan yang tepat itu membolehkan pelumba negara tersebut melintasi garisan penamat sebagai juara, sekali gus melakar kemenangan bersejarah buat Malaysia.
Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja menghadiahkannya 25 mata maksimum, malah melonjakkan kedudukannya ke tempat ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 73 mata. Quiles terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 186 mata, diikuti Alvaro Carpe di tangga kedua menerusi 121 mata, manakala Uriarte menghuni kedudukan ketiga dengan 82 mata. Kejayaan di Brno turut melengkapkan koleksi podium kedua Hakim Danish musim ini selepas meraih tempat ketiga pada GP Itali di Mugello bulan lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan di Brno turut menyaksikan Hakim Danish mengukuhkan kedudukannya di tangga ketiga carta Rookie of the Year Moto3 2026 dengan 73 mata. Pelumba negara itu kini hanya dipisahkan sembilan mata daripada Veda Pratama yang berada di kedudukan kedua dengan 82 mata, manakala Uriarte mendahului carta pendatang baharu terbaik dengan 92 mata.






